Penulis berpendapat bahawa
orang yang banyak membaca hanya menghimpunkan ilmu dalam otak mereka dan hanya
untuk diri mereka. Tetapi orang yang banyak membaca dan menghasilkan penulisan
hasil pembacaan itu ialah orang yang menghimpunkan ilmu dan akan mencipta ilmu
baharu sekali gus mewariskan ilmu mereka untuk generasi akan datang. Mewariskan ilmu dalam bentuk untuk generasi
akan datang akan sentiasa memberikan saham akhirat (pahala yang berterusan)
walaupun penulis tersebut telah meninggal dunia.
Artikel ini akan menghuraikan kepentingan kursus penulisan sebagai
subjek wajib universiti kepada semua mahasiswa. Sebelum menghuraikan lebih
lanjut, penulis terlebih ingin memberikan definisi dan pendapat penulis tentang
penulisan. Kamus Dewan mendefinisikan penulisan sebagai hasil mengarang atau
hasil menulis. Penulis pula berpendapat bahawa penulisan ialah hasil pemikiran
yang kemudiannya dinyatakan dalam bentuk tulisan yang kemas dan mudah
difahami.
Untuk menjadi mahir dalam penulisan, kita memerlukan latihan yang
mencukupi. Pemain bola sepak memerlukan latihan yang banyak untuk menjadi
pemain yang hebat. Analoginya begini, “Walaupun saya berikan anda sepuluh buku
tentang cara bermain bola sepak dengan betul atau sepuluh buku tentang rahsia
kejayaan Diego Maradona (legenda bola sepak dunia) bermain bola sepak, saya
pasti anda tetap tidak akan pandai bermain bola sampai bila-bila jika saya
tidak memberikan latihan yang mencukupi kepada anda.” Inilah analogi yang
sangat sesuai untuk menggambarkan bahawa betapa pentingnya latihan bagi
memahirkan diri dalam sesuatu bidang ilmu pengetahuan, termasuklah ilmu bahasa,
khususnya ilmu penulisan. Seseorang itu tidak akan mampu menghasilkan penulisan
yang membanggakan jika sekadar membaca buku panduan penulisan tanpa melakukan
latihan.
Banyak buku panduan tentang penulisan akademik telah dihasilkan, sama ada buku panduan penulisan kertas kerja, jurnal, tesis, penulisan ucapan dan sebagainya. Hampir setiap universiti, sama ada universiti awam atau swasta di negara ini menerbitkan buku panduan penulisan mereka sendiri untuk pelajar-pelajar mereka. Namun, universiti-universiti ini tidak mewajibkan kursus penulisan ini kepada setiap pelajar, jika ada pun kursus ini hanya ditawarkan kepada pelajar jurusan bahasa sahaja. KUIS (Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor) contohnya, mempunyai panduan penulisan akademik yang ditulis oleh pensyarah KUIS sendiri, tetapi penulis difahamkan bahawa pelajar-pelajar hanya diberikan bengkel cara penulisan yang betul berdasarkan buku tersebut dalam tempoh sehari sahaja.
Bagi penulis, bengkel sehari tidak cukup untuk memahirkan pelajar dalam penulisan, khususnya penulisan ilmiah yang merangkumi tugasan, kertas kerja, tesis, jurnal dan sebagainya. Penulisan ilmiah bukan sekadar menghimpunkan seberapa banyak ayat secara sewenang-wenangnya untuk menghasilkan sesuatu teks. Penulisan juga bukan sekadar mengumpulkan idea tanpa perlu disusun dengan baik. Sebaliknya banyak perkara yang perlu diambil kira dalam penulisan, daripada kesalahan ejaan, penulisan bibliografi, struktur ayat, menyusun idea (dengan teknik pemerian, pendedahan, penghujahan, penceritaan), cara memberikan pentakrifan, percontohan, cara mengutip idea orang lain hinggalah kepada etika penulisan ilmiah dari sudut undang-undang perlu diberi perhatian dalam penulisan. Jadi, mengadakan bengkel penulisan dalam sehari (mungkin dalam 8 jam sahaja) adalah sama halnya dengan memberikan penerangan kepada sekumpulan kanak-kanak tentang cara-cara bermain bola sepak dengan betul dalam masa sehari, dengan harapan kanak-kanak ini akan menjadi pemain bola sepak yang hebat di peringkat antarabangsa pada masa akan datang. Hal ini mustahil untuk berjaya. Ringkasnya, bengkel sehari tidak cukup.
Terbitkanlah sebanyak mungkin buku panduan penulisan jika tidak
dijadikan kursus wajib universiti untuk melatih pelajar-pelajar, penulis yakin
pelajar-pelajar atau graduan-graduan tidak akan dapat mengembangkan ilmu yang
mereka peroleh tanpa kemahiran menulis, dan hal ini akan membantutkan budaya
intelek dalam kalangan pelajar. Bakat semula jadi dalam diri pelajar tidak akan
dapat dicungkil. Mungkin pelajar memiliki satu idea yang bernas, tetapi tidak
tahu bagaimana mengolah idea itu dalam bentuk tulisan. Hal inilah yang
menyebabkan pelajar kita melakukan plagiat. Tidak hairanlah jika
pelajar-pelajar universiti kita menjadi perompak idea orang lain dengan
melakukan teknik cut and paste (dengan
izin) apabila diminta menyiapkan kertas kerja atau sebarang tugasan. Tidak
hairanlah juga jika ada pelajar Malaysia yang menghantar tugasan dalam versi
bahasa Melayu Indonesia akibat daripada perbuatan cut and paste idea orang Indonesia. Persoalannya, siapakah yang
patut dipersalahkan jika pelajar melakukan demikian.
Tidak perlu penulis menjawab persoalan tersebut dan tidak perlu menyatakan siapa yang patut dipersalahkan. Sebaliknya penulis mencadangkan satu penyelesaian untuk mengatasi masalah di atas, iaitu memberikan latihan yang mencukupi dengan mewajibkan kursus penulisan kepada semua pelajar sebaik sahaja pelajar-pelajar menjejakkan kaki ke menara gading. Hal ini dicadangkan kerana menulis karangan di peringkat sekolah (SPM khususnya) tidak sama dengan penulisan akademik, atau tugasan yang diberikan di peringkat universiti.
Bagi penulis, tahap keintelektualan seseorang itu tidak dinilai
berdasarkan berapa banyak buku yang dibaca, sebaliknya keintelektualan
seseorang itu dinilai berdasarkan berapa banyak buku (penulisan) yang
dihasilkan, khususnya penulisan ilmu. Malah, untuk menjadi universiti terbaik
dunia pun dinilai berdasarkan jumlah buku atau penulisan ilmiah yang
diterbitkan setiap tahun. Universiti Oxford, Cambridge, Yale, Harvard dan sebagainya
sentiasa mendapat ranking universiti terbaik dunia kerana banyak menghasilkan
penulisan ilmiah yang berkualiti setiap tahun. Penulisan ilmiah menjadi
kriteria utama dalam penilaian prestasi sesuatu universiti. Negara kita telah
memperkenalkan istilah Universiti Penyelidikan (Research University) dengan
tujuan memperbanyak penulisan ilmiah.
Pemerhati bahasa melihat ada kelemahan dalam sistem Universiti
Penyelidikan ini, iaitu panduan dan latihan penulisan hanya ditekankan kepada
pelajar pascasiswazah sahaja. Sepatutnya latihan dan panduan penulisan ilmiah
diwajibkan kepada semua pelajar pelbagai bidang (fakulti) sebaik sahaja mereka
menjejakkan kaki ke Universiti agar dapat membiasakan mereka dalam penulisan.
Bukan hanya diwajibkan kepada pelajar bidang bahasa sahaja. Jika mereka
diberikan latihan penulisan pada peringkat awal dengan waktu mencukupi, tidak
mustahil pelajar sarjana muda atau diploma sama ada pelajar kejuruteraan,
ekonomi, perubatan, sains dan sebagainya boleh menghasilkan penyelidikan yang
berkualiti dengan idea mereka sendiri. Hal ini kerana mereka tahu bagaimana
untuk menyampaikan idea setalah diberikan latihan yang mencukupi.
Berdasarkan pngalaman penulis, pelajar-pelajar semester pertama hanya
diberikan subjek tentang cara memperoleh maklumat dan cara mendapatkan nombor
siri buku rujukan. Subjek ini ialah subjek wajib universiti dan ia amat baik,
tetapi terlalu bersifat teknikal.
Pelajar hanya diberikan panduan bagaiamana untuk mendapatkan maklumat
dan megutip idea orang lain. Apa yang lebih penting ialah pengalamana menulis.
Mereka tidak diberikan peluang untuk menulis kertas kerja di peringkat awal,
sebaliknya mereka diberikan tugas kertas projek di akhir semester. Sebab itu,
ramai pelajar yang gagal menyiapkan kertas kerja projek akibat ketiadaaan
pengalaman menulis di peringkat awal.
Kita sedia maklum bahawa antara fungsi utama universiti ialah mengajar
pelajar untuk berfikir. Hasil pemikiran mereka ini perlu disimpan dalam bentuk
tulisan untuk diwarisi oleh generasi akan datang. Jadi, pelajar perlu diberi
latihan bagaimana menyampaikan idea mereka atau buah fikiran mereka dalam
penulisan ilmiah. Penulis teringat satu buku bertajuk “Pemikiran Islam” dan
buku ini menyatakan bahawa pemikiran Islam merupakan warisan yang tidak ternilai
harganya berbanding bentuk warisan tamadun Islam yang lain, seperti seni bina
Islam sama ada masjid atau kediaman yang indah. Pemikiran Islam yang dihasilkan
oleh ilmuwan Islam ini hanya dapat diwarisi melalui penulisan atau dikenali
sebagai karya-karya agung. Ibnu Khaldun, Imam Al-Ghazali, Ibnu Sina dan
sebagainya merupakan ilmuwan atau intelektual Islam yang mewariskan idea dan
himpunan ilmu mereka melalui penulisan. Jika mereka tidak melakukan penulisan
dengan gigih, sudah pasti ilmu yang mereka miliki tidak akan diwariskan kepada
kita. Begitu juga dengan ilmuwan Islam di Nusantara seperti Sheikh Nuruddin
al-Raniri, Hamzah Fansuri, Samsuddin al- Sumatrani, Raja Ali Haji, Tajuddin
Abdul Fadzil, Zainal Abidin Ahmad, Hamka merupakan penulis-penulis yang
menghasilkan penulisan yang sangat berguna kepada generasi akan datang.
Penulis berpendapat bahawa orang yang banyak membaca hanya menghimpunkan ilmu dalam otak mereka dan hanya untuk diri mereka. Tetapi orang yang banyak membaca dan menghasilkan penulisan hasil pembacaan itu ialah orang yang menghimpunkan ilmu dan akan mencipta ilmu baharu sekali gus mewariskan ilmu mereka untuk generasi akan datang. Penulisan juga boleh dilihat dalam kerangka ibadah, iaitu berdakwah. Dalam konteks universiti, penulisan memainkan peranan penting dalam merancakkan budaya intelektual dalam kalangan pelajar. Oleh itu, setiap universiti perlu mewajibkan kurus penulisan kepada semua pelajar peringkat semester satu Ijazah Sarjana Muda atau Diploma, bukannya mewajibkan subjek metodologi penyelidikan hanya pada peringkat Ijazah Sarjana.