Kamus Dewan mendefinisikan
saman sebagai perintah rasmi yang menuntut seseorang hadir ke mahkamah untuk
didakwa dan maksud kedua ialah surat panggilan untuk diadili. Kamus ini juga tidak memberikan makna lain,
seperti perintah untuk membayar sesuatu hukuman sama ada bayaran dibuat di
balai polis atau pejabat pos.
Apabila menyentuh istilah undang-undang jalan raya, kita sering
mendengar perkataan saman, notis saman, denda, kompaun dan terbaru istilah saman ekor. Perkataan saman sangat
hangat disebut ketika ini ekoran tawaran kerajaan untuk mengurangkan jumlah
bayaran saman sebanyak 50% yang tamat 28 Februari 2011. Puluhan artikel di
dada-dada akhbar dan media elektronik telah memberikan reaksi tentang saman
trafik ini. Ada yang bersetuju, ada yang merungut dengan saman ekor dan ada
yang menentangnya dari sudut undang-undang.
Berdasarkan pemerhatian, penulis mendapati artikel-artikel yang memenuhi
akhbar dan Internet itu tidak memperincikan makna saman berdasarkan kamus sebelum menghuraikan isu saman sama ada
perlu dibayar atau tidak. Oleh itu, penulis berhajat untuk memperlihatkan makna
saman yang terdapat dalam kamus dan membandingkannya dengan penggunaan
perkataan saman dalam media cetak dan media elektronik. Dengan perkataan lain,
penulis berhajat untuk menghuraikan penggunaan istilah saman yang sering
disamaertikan dengan perkataan denda dan kompaun.
Di pejabat pos, kita sering mendengar ungkapan adakah anda telah menjelaskan saman anda? dan ungkapan Pejabat pos ini tidak menguruskan pembayaran
saman. Di dalam media cetak dan elektronik, ungkapan jelaskan saman anda sebelum 28 Februari, jika gagal nama anda akan
disenaraihitamkan. Di dalam kertas semakan saman kita terbaca ungkapan senarai saman yang belum dijelaskan bagi
nombor kad pengenalan X ialah RM1000, dan papan tanda tertulis seperti kaunter semakan dan bayaran saman.
Ayat-ayat yang disebutkan di atas seolah-olah perkataan saman membawa maksud denda yang mesti dibayar.
Ketika artikel ini ditulis, ratusan ribu (mungkin jutaan) pesalah trafik
sedang menyerbu balai polis dan pejabat pos di seluruh negara untuk menjelaskan
saman mereka pada saat-saat akhir, iaitu 27 dan 28 Feb 2011, tarikh tamat
tawaran 50% potongan bayaran atas kesalahan yang dilakukan. Penulis perhatikan
dalam tempoh tersebut, mereka sanggup datang seawal enam pagi untuk mendapatkan
nombor giliran pembayaran kerana pengeluaran nombor giliran terhad. Mereka
sanggup beratur panjang dan berasak-asak berjam-jam lamanya hanya untuk
membayar saman bagi mengelakkan diri daripada disenaraihitamkan.
Sebenarnya saman, kompaun dan denda mempunyai maksud yang berlainan
jika kita merujuk Kamus biasa dan Kamus Istilah undang-undang. Penulis memilih
tiga kamus untuk menunjukkan makna saman yang sebenarnya dan membandingkannya
dengan ungkapan-ungkapan yang diberikan di atas. Selain itu, penulis ingin
membandingkan makna saman tersebut dengan apa yang berlaku terhadap
pesalah-pesalah trafik. Kamus pertama ialah Kamus Dwibahasa Bahasa
Inggeris-Bahasa Melayu, Edisi Kedua (2002) terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka
(DBP). Kedua ialah Kamus Dewan, Edisi Keempat (2005) terbitan DBP. Ketiga ialah
kamus istilah undang-undang yang bertajuk Maksim dan Ungkapan Undang-undang
yang ditulis oleh Mohd. Radzali Masrum (2001) juga diterbitkan oleh DBP.
Perkataan saman diserap daripada bahasa Inggeris, iaitu summons. Summons pula didefinisikan oleh Kamus Bahasa Inggeris-bahasa Melayu
(2002:1259-1260) sebagai memanggil, mengarahkan atau memerintah seseorang untuk
hadir ke mahkamah. Kamus ini tidak memberikan makna lain selain yang diberikan
tadi. Kamus ini juga mendefinisikan menyaman sebagai memerintah seseorang untuk
hadir ke mahkamah.
Apabila perkataan summons ini
diserap ke dalam bahasa Melayu, perkataan summons
menjadi saman, tanpa mengalami perubahan makna asal, sama ada peluasan atau
penyempitan makna. Kamus Dewan (2005:1377) mendefinisikan saman sebagai
perintah rasmi yang menuntut seseorang hadir ke mahkamah untuk didakwa dan
maksud kedua ialah surat panggilan untuk diadili. Kamus ini juga tidak memberikan makna lain,
seperti perintah untuk membayar sesuatu hukuman sama ada bayaran dibuat di
balai polis atau pejabat pos.
Kamus Istilah Undan-undang, iaitu Maksim
dan Ungkapan Undang-undang (2001:367) juga mendefinisikan saman sebagai
satu dokumen yang dikeluarkan dari pejabat sesebuah mahkamah keadilan yang
mengarahkan orang yang namanya disebut di dalamnya menghadirkan diri di hadapan
seorang hakim atau pegawai mahkamah. Buku istilah ini juga tidak menyatakan
maksud lain.
Maksud saman yang diberikan oleh tiga kamus di atas adalah jelas berbeza
dengan maksud kompaun dan denda. Dengan kata lain, saman, kompaun dan denda
bukanlah perkataan sinonim atau sama maksud.
Di sini memadai dengan mengambil pengertian yang diberikan oleh Kamus
Dewan untuk melihat maksud kompaun dan denda untuk membandingkan maksud saman.
Kompaun dalam Kamus Dewan bermaksud denda yang perlu dibayar tanpa perlu
melalui pendakwaan di mahkamah, manakala denda pula didefinisikan sebagai
hukuman berupa wang, sejumlah wang yang mesti dibayar kerana telah melakukan
sesuatu kesalahan atau telah melanggar peraturan.
Oleh itu, ungkapan seperti adakah
anda telah menjelaskan saman anda? hendaklah ditukar kepada adakah anda telah menjelaskan kompaun atau denda anda?, Pejabat pos ini tidak
menguruskan pembayaran saman hendaklah ditukar menjadi Pejabat pos ini tidak menguruskan pembayaran kompaun trafik (denda
trafik). Ungkapan jelaskan saman anda sebelum 28 Februari 2011, jika gagal nama anda akan
disenaraihitamkan hendaklah ditukar kepada jelaskan denda trafik anda sebelum 28 Februari, jika gagal nama anda
akan disenaraihitamkan. Ungkapan senarai
saman yang belum dijelaskan bagi nombor kad pengenalan X ialah RM1000
hendaklah ditukar kepada senarai jumlah
denda yang belum dijelaskan bagi nombor kad pengenalan X ialah RM1000, kaunter semakan dan bayaran saman
hendaklah ditukar kepada Kaunter semakan
saman dan kaunter bayaran kompaun dan sebagainya.
Perkataan saman yang digunakan dalam ayat-ayat di atas hendaklah ditukar kerana membawa maksud yang berlainan. Contohnya adakah anda telah menjelaskan saman anda? membawa maksud adakah anda telah membayar surat perintah untuk hadir ke mahkamah, jelaskan saman anda sebelum 28 Februari akan membawa maksud jelaskan (bayar) surat perintah mahkamah anda sebelum 28 Februari. Begitu juga dengan ayat-ayat yang lain. Semuanya diminta membayar surat perintah mahkamah. Ungkapan-ungkapan di atas hanya akan benar jika surat perintah yang dikeluarkan oleh polis atau Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) perlu dibayar selain membayar denda atas kesalahan yang dilakukan. Dengan perkataan lain, pesalah membayar surat perintah yang dikeluarkan oleh polis atau JPJ.
Selain itu, ayat-ayat di atas juga akan benar sekiranya perkataan saman
itu mengalami peluasan makna, iaitu maksud saman telah disamaertikan dengan
kompaun atau denda. Namun demikian, tiga kamus yang penulis rujuk di atas,
tidak ada satu kamus pun yang menyamakan maksud saman dengan maksud kompaun
atau denda. Dalam undang-undang, bahasa hendaklah tepat, kerana kaedah
pentafsiran undang-undang mengutamakan kaedah harfiah, iaitu melihat maksud
secara langsung atau yang tersurat. Oleh itu, ungkapan saman perlu digunakan
dengan tepat berdasarkan maksud yang diberikan oleh kamus.
Apa yang hendak dijelaskan atau dibayar bukanlah saman, tetapi apa yang
dijelaskan (dibayar) ialah kompaun, iaitu bayaran hukuman atau denda atas
kesalahan yang dilakukan tanpa melalui pembicaraan mahkamah. Kompaun ini
dikenakan apabila pemandu atau pengguna jalan raya mengakui kesalahannya
setelah diberikan notis saman. Jadi, pesalah-pesalah yang menyerbu balai polis
dan pejabat pos pada hari tersebut dianggap sebagai pesalah-pesalah yang
mengaku bersalah sebelum dibicarakan.
Ada yang mendakwa perkataan kompaun itu bertentangan dengan Perlembagaan
Persekutuan, khususnya atas kesalahan saman
ekor. Hal ini kerana Perlembagaan Persekutuan mengatakan bahawa hanya
mahkamah sahaja yang boleh mengesahkan seseorang itu bersalah atau tidak,
bukannya polis atau JPJ yang menentukan kesalahan. Hal ini di luar bidang
kepakaran penulis untuk menghuraikannya di sini. Kesimpulannya ialah penggunaan
istilah saman bukanlah hukuman, tetapi sekadar surat perintah untuk hadir ke
mahkamah. Sama ada pesalah mengaku bersalah, atau keliru dan dikelirukan oleh
perkataan saman yang menyebabkan mereka menyerbu balai polis dan pejabat pos,
hal ini perlu dikaji secara mendalam. Penulis hanya menyeru kepada semua rakyat
Malaysia agar memiliki sekurang-kurangnya satu kamus, khususnya Kamus Dewan
kerana kamus ini dapat membantu anda untuk memahami banyak perkara dan pelbagai
bidang ilmu pengetahuan, termasuk ilmu undang-undang. Satu Rumah Satu Kamus
Dewan!
No comments:
Post a Comment