Saturday, 15 August 2015

KESALAHAN MENGHALANG PENJAWAT AWAM: SATU ANALISIS SEMANTIK

Menurut peguam bela tersebut, dalam kertas pertuduhan yang mendakwa tertuduh telah menghalang penjawat awam menjalankan tugasnya bukanlah satu kesalahan. Hal ini kerana tuduhan itu tidak menunjukkan sebarang tindakan dengan niat menghalang. Hal ini kerana longgokkan kayu juga boleh menghalang penjawat awam menjalankan tungasnya. Dengan kecacatan kertas tutuhan ini, maka tertuduh hendaklah dibebaskan.


(bahasa peguam)




Artikel ini mengetengahkan satu kes mahkamah yang penulis baca daripada sebuah artikel akhbar awal tahun ini. Dalam kes tersebut, tertuduh (defendan) dibicarakan selama tiga tahun dan akhirnya dilepaskan atas tuduhan menghalang penjawat awam melakukan tugasnya sebagai kakitangan kerajaan. Ada dua sebab defendan dilepaskan, iaitu (i) kertas pertuduhan mengandungi kecacatan; (ii) keterangan saksi yang bercanggah antara satu sama lain. Dalam artikel ini, penulis akan membincangkan sebab pertama dari sudut ilmu semantik atau ilmu makna.

Dalam kes tersebut, dua peguam yang mewakili defendan atau tertuduh mendapati berlaku kecacatan dalam kertas pertuduhan. Dalam ilmu semantik, kecacatan ini dianggap sebagai ketaksaan atau kekaburan makna. Dalam kertas pertuduhan mengatakan bahawa:

1.          Tertuduh telah menghalang penjawat awam menjalankan tugasnya.

Sekali baca, Ayat 1 (A1) di atas menunjukkan dengan jelas bahawa tertuduh telah melakukan kesalahan, iaitu perbuatan menghalang penjawat awam melakukan tugasnya. Dalam fikiran kita, kita dapat bayangkan telah berlaku adegan tolak menolak antara tertuduh dengan pihak penjawat awam. Selain itu, kita dapat membayangkan tertuduh membentangkan tangannya (seolah-olah cuba menangkap seekor ayam) bagi menghalang penjawat awam tersebut. Kita juga membayangkan bahawa tertuduh tidak membenarkan penjawat awam melakukan tugasnya. Perkara-perkara ini yang kita fikirkan dan menyatakan bahawa ayat dalam pertuduhan itu sudah lengkap untuk mendakwa tertuduh di mahkamah.

Namun demikian, pihak peguam yang mewakili defendan telah membuktikan bahawa A1 tersebut mengalami kecacatan. Menurut peguam bela tersebut, tertuduh telah menghalang penjawat awam menjalankan tugasnya bukanlah satu kesalahan. Hal ini kerana tuduhan itu tidak menunjukkan sebarang tindakan dengan niat menghalang. Dengan itu, tidak menjadi satu kesalahan perbuatan menghalang tanpa niat dan oleh sebab itu tertuduh hendaklah dilepaskan. Persoalannya ialah “di manakah cacatnya pertuduhan tersebut?

Sebelum melihat mengapa Ayat 1 dikatakan mengalami kecacatan dari sudut semantik, penulis ingin menunjukkan empat jenis ketaksaan yang telah disenaraikan oleh Ruth M. Kempson (Semantik, terjemahan Zaiton Abd. Rahman 1991:149-167), antaranya ialah (i) kekaburan rujukan, iaitu makna perkataan pada dasarnya sudah cukup jelas, tetapi sukar ditentukan sama ada perkataan tersebut boleh digunakan pada benda-benda tertentu; (ii) ketidakpastian makna, iaitu makna perkataan itu sendiri tidak pasti; (iii) kurang ketentuan pada makna perkataan itu sendiri, iaitu maknanya jelas tetapi dinyatakan secara umum sahaja; (iv) pertentangan pada penentuan makna perkataan, iaitu makna yang diberikan terlibat dengan pernyataan atau yang mempunyai kemungkinan tafsiran yang berlainan.

Pada pendapat penulis, kekaburan ketiga yang disebut oleh Ruth M. Kempson telah berlaku dalam A1. A1 tersebut mempunyai makna yang jelas, tetapi dinyatakan secara umum sahaja dan ini memberi ruang kepada wujudnya ketaksaan atau pelbagai tafsiran yang lain, atau dalam istilah undang-undang sebagai satu kecacatan. Jika dianalisis dari sudut makna perkataan atau analisis rujukan makna, perkataan menghalang ini boleh hadir dalam pelbagai ayat dan menghasilkan pelbagai makna yang berlainan antara satu sama lain. Lihat ayat berikut bagaimana perkataan menghalang boleh hadir dan dapat menunjukkan perbezaan makna antara satu sama lain.

2.          Mohammad Ali telah menghalang penjawat awam menjalankan tugasnya.
3.          Longgokkan kayu balak itu telah menghalang penjawat awam menjalankan tugasnya.
4.          Hujan lebat dan petir itu telah menghalang penjawat awam melakukan tugasnya.

Tiga ayat di atas menunjukkan bahawa terdapat banyak benda lain yang boleh menghalang penjawat awam melakukan tugasnya, seperti kayu balak, hujan lebat, petir dan sebagainya. Ketiga-tiga ayat di atas tidak boleh dianggap sebagai telah melakukan kesalahan dan boleh dijatuhkan hukuman. Hal ini kerana sesiapa pun dan benda-benda apa pun boleh menghalang penjawat awam melakukan tugasnya, yang membezakannya ialah sama ada dilakukan dengan niat atau sebaliknya. Di sinilah “kebijaksanaan” peguam bela tersebut dalam mengeksploitasi bahasa untuk berhujah. Dengan ayat lain, dengan penguasaan ilmu bahasa, khususnya ilmu semantik, peguam tersebut dapat memanipulasi bahasa untuk membebaskan tertutuh. Analisis di atas dianggap sebagai analisis komponen makna pada peringkat ayat, iaitu mencirikan makna sesuatu perkataan atau frasa dengan menyenaraikan ciri-ciri pembeza. Niat menjadi ciri pembeza dalam ayat berikut:

5.          Mohammad Ali telah dengan sengaja menghalang penjawat awam menjalankan tugasnya.
6.          Mohammad Ali telah dengan tidak sengaja telah menghalang penjawat awam melakukan tugasnya.

Ayat 5 dan 6 di atas jelas mempunyai perbezaan yang ketara. Subjek bagi ayat 2, 3 dan 4 pula mempunyai fungsi yang sama, itu menghalang penjawat awam tanpa melibatkan niat. Oleh itu, tiga ayat tersebut tidak melakukan satu kesalahan.  Lihat contoh berikut. Ayat 7-9 yang berikut akan menjadi tidak boleh diterima akal apabila diberikan unsur niat.

7.          Pokok yang tumbang itu telah dengan sengaja menghalang kami menuruskan perjalanan ke Kuala Lumpur.
8.          Mayat yang masih terbaring di atas jalan raya itu telah dengan sengaja menghalang lalu lintas.
9.          Jambatan yang rosak itu telah dengan sengaja menghalang kami menyeberangi sungai itu.

Ayat 7-9 merupakan ialah ayat yang tidak gramatis kerana subjeknya tidak bernyawa tetapi diberikan unsur niat. Bagi subjek yang bernyawa, khususnya manusia, boleh diberikan unsur niat, seperti dalam A1 yang boleh menghasilkan dua kemungkinan yang terdapat dalam ayat 5 dan 6. Dalam konteks inilah pentingnya ilmu semantik, khususnya analisis komponen makna, makna rujukan, analisis syarat kebenaran dan sebagainya.

Penulis berpendapat bahawa Akta Polis 1967 [(Akta 344, keluaran Hingga 5 Februari 2009) yang digunakan untuk mendakwa seseroang perlu dikemas kini bagi mengelakkan kecacatan. Dengan perkataan lain, pernyataan-pernyataan pertuduhan perlu diperincikan dengan melihat ilmu semantik. Pernyataan seperti “seseorang yang menghalang, membangkang atau ingkar...adalah telah melakukan suatu kesalahan...(seksyen 21, Bahagian VII)” mengalami kecacatan kerana tidak diberikan unsur niat. Oleh itu, akta tersebut perlu dikemas kini bagi memantapkan sistem tersebut dengan memberikan unsur niat.

Kesimpulannya ialah bidang undang-undang memerlukan bahasa yang jelas, tepat dan terperinci bagi mengelak ketaksaan atau tafsiran yang pelbagai. Penulis mendapati, krisis Perlembagaan yang berlaku banyak disebabkan oleh ketaksaan ini dalam teks undang-undang. Kelemahan bahasa dalam undang-undang menyebabkan keputusan mahkamah tidak konsisten. Walaupun bidang kehakiman mempunyai pendekatan tafsiran undang-undang, iaitu pendekatan harfiah (The Literal Approach), keemasan (The Golden Rule), kemudaratan (The Mischief Rule) dan tujuan (The Purposive Approach), namun ilmu semantik dapat membantu mengurangkan krisis pentafsiran. Kaedah analisis semantik dapat menutup ruang-ruang ketaksaan, kekaburan tau kecacatan. 

No comments:

Post a Comment