Warganegara Malaysia harus memahami bahawa
banyak faktor lain yang mempengaruhi kemajuan sesebuah negara, bukannya hanya
penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan rakyatnya semata-mata. Faktor tersebut
ialah adanya kekuatan adab dan akhlak, sistem pendidikan yang mantap,
penguasaan ilmu yang hebat, kestabilan politik, sistem agihan ekonomi yang
adil, disiplin kerja yang tinggi, sikap menepati masa, pentadbiran yang
teratur, kestabilan sosial, ketiadaan rasuah, ketiadaan pembaziran, ketirisan
dan sebagainya.
Ramai yang meragui kemampuan bahasa Melayu sebagai lambang kemajuan
negara, termasuklah para pemimpin. Mereka menganggap bahawa bahasa Melayu tidak
mampu menjadi alat kemajuan bangsa. Mereka berpendapat, kita hanya akan maju
sekiranya kita menguasai bahasa Inggeris. Bagi mereka, penguasaan bahasa
Inggeris merupakan cara utama untuk memajukan negara kita. Tanggapan ini
menjadikan mereka melihat pejuang bahasa Melayu sebagai penghalang kemajuan
negara, kolot dan ketinggalan zaman. Golongan pejuang bahasa dianggap tidak
mahu menerima pembangunan. Inilah salah faham yang menjadikan bahasa Melayu
terus terpinggir.
Ingin ditegaskan di sini, bahawa bahasa Inggeris bukanlah satu-satunya
penentu kemajuan sesebuah negara. Banyak faktor lain yang menjadikan negara
kita maju. Kita telah saksikan bahawa banyak negara yang telah maju dengan
bahasa mereka sendiri. Mereka membangun dengan pantas melalui bahasa ibunda
mereka. Jepun Rusia, Korea, Perancis, Itali menjadi negara maju dengan bahasa
mereka masing-masing. Industri kereta di Jepun maju melalui bahasa Jepun. Rusia
setanding negara-negara Barat dalam bidang angkasa, sains dan teknologi, dan
persenjataan melalui bahasa Rusia. Malah Angkasawan negara kita pernah berkata
“saya terpaksa mengambil kursus bahasa Rusia kerana mereka (Rusia) tidak
memerlukan bahasa Inggeris untuk mengendalikan pesawat angkasa lepas.
Warganegara Malaysia keseluruhannya harus memahami bahawa banyak faktor
lain yang menjadikan negara kita maju, bukannya hanya penguasaan bahasa
Inggeris semata-mata. Faktor tersebut ialah adanya sistem pendidikan yang
mantap, penguasaan ilmu yang hebat, kekuatan akhlak, kestabilan politik, sistem
agihan ekonomi yang adil, masyarakat yang mempunyai disiplin masa yang tinggi
terhadap kerja, pentadbiran yang teratur, kestabilan sosial, ketiadaan rasuah,
ketiadaan pembaziran, ketirisan dan sebagainya. Semua unsur ini menjadi penentu
kemajuan negara dan bukannya penguasaan bahasa Inggeris.
Persoalannya ialah adakah negara kita akan maju hanya dengan penguasaan
bahasa Inggeris sedangkan dalam masa yang sama para pemimpin yang bijak
berbahasa Inggeris mengamalkan rasuah, para pekerja kerajaan dan kakitangan
swasta mengamalkan rasuah, malas bekerja, tidak menepati masa, tidak
berdisiplin dalam pekerjaan dan sebagainya. Bolehkah kita menjadi negara maju
jika hanya menguasai bahasa Inggeris tetapi dalam masa yang sama tidak berilmu,
dan tidak berakhlak? Ingat, pasukan bola sepak Jepun dan Korea sentiasa layak
ke Piala Dunia bukan kerana pemain mereka menguasai bahasa Inggeris, tetapi
mereka layak ke Piala Dunia kerana disiplin yang tinggi dalam kalangan pemain,
pengurusan sukan yang mantap, latihan yang teratur, pemakanan yang teratur,
tidak menggunakan ‘orang dalam’ dalam pemilihan pemain dan sebagainya.
Pejuang bahasa bukanlah menghalang penguasaan bahasa asing dalam
kalangan rakyat Malaysia. Tidak seorang pejuang bahasa pun pernah mengeluarkan
kenyataan yang melarang rakyat negara ini untuk mempelajari bahasa-bahasa
asing. Malah pejuang bahasa menyokong rakyat Malaysia untuk menguasai seberapa
banyak bahasa yang mereka boleh kuasai. Selain itu, kita tidak pernah melihat
pejuang bahasa berdemonstrasi, berarak di jalanan membawa sepanduk untuk
menghalang pengajaran dan pembelajaran bahasa asing di negara ini. Belum pernah
juga pejuang bahasa dilihat melarang subjek bahasa Inggeris diajar di sekolah
rendah hingga ke pengajian tinggi. Malah pengajaran bahasa asing tumbuh subur
di Malaysia. Pengajaran bbahasa Arab,
bahasa Perancis, bahasa Jepun, China, Rusia, Belanda, dan sebagainya diajarkan
di sebahagian besar pengajian tinggi negara ini.
Penguasaan bahasa asing yang banyak akan menjadikan kita berpengetahuan luas
dan dengan pengetahuan yang luas ini membolehkan kita memajukan diri. Hal ini
yang telah dilakukan oleh Jepun sebelum menjadi kuasa besar dunia. Kerajaan
Jepun menghantar pelajar-pelajar mereka di beberapa negara maju yang pelbagai
bahasa untuk menuntut ilmu dan kemudian pulang ke negara asal bersama ilmu
tersebut. Seterusnya ilmu tersebut diterjemahkan ke dalam bahasa Jepun. Sebelum
dihantar, pelajar tersebut diberi kursus bahasa berdasarkan negara yang hendak
dilawati. Sekiranya pelajar tersebut bakal dihantar ke Rusia, pelajar tersebut
akan diajar bahasa Rusia beberapa bulan hingga boleh berkomunikasi walaupun
tidak sepandai mana, asalkan dapat berkomunikasi dan mengutip seberapa banyak
ilmu untuk negara mereka. Kaedah ini menjadikan Jepun maju bersama bahasanya
sendiri.
Sekiranya kita lihat Indonesia beberapa tahun yang lalu, negara itu
lumpuh bukan kerana sebilangan besar rakyat negara itu gagal menguasai bahasa
Inggeris, sebaliknya negara Indonesia muflis kerana skandal rasuah yang
berleluasa; Indonesia lumpuh kerana kegagalan pentadbiran, Indonesia mengalami
kemiskinan kerana pengurusan ekonomi yang kurang cekap dan sebagainya. Mereka
musnah bukan kerana sebahagian besar rakyatnya gagal menguasai bahasa Inggeris.
Di Filipina pula, sebahagian besar rakyat negara itu menguasai bahasa Inggeris,
tetapi masih mundur. Lihat sahaja buruh asing Filipina, khususnya pembantu
rumah yang datang ke Malaysia, kebanyakan mereka menguasai bahasa Inggeris
dengan baik, tetapi menjadi pembantu rumah di negara ini.
Oleh itu, tanggapan hanya dengan penguasaan bahasa Inggeris sahaja kita
boleh maju perlu diperbaiki dan diubah. Kita perlu meyakini bahawa bahasa
Melayu sebagai dasar bahasa dapat memajukan negara kita sendiri. Hal ini kerana
kita yakin, sejak Akta Bahasa Kebangsaan 1967 diperkenalkan yang menjadikan
bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan, negara kita
telah melahirkan ribuan graduan yang berjaya sama ada di dalam dan di luar
negara dalam pelbagai bidang. Malah ramai profesor dalam bidang sains dan
teknologi telah dilahirkan sedangkan mereka dahulunya dididik dalam bahasa
Melayu. Inilah bukti kemampuan bahasa Melayu terhadap pembangunan negara.
Oleh itu, kita kena yakin dan percaya bahawa bahasa Melayu mampu memajuk
negara kita dan berdaya saing dalam pelbagai bidang, termasuklah sains dan
teknologi. Akhir kata, sehebat mana orang kita berbahasa Inggeris jika
mengamalkan budaya negatif (rasuah, tidak berdisiplin, salah urus tadbir,
ketirisan, akhlak buruk dan sebagainya), sudah pasti negara kita akan…. “Lu
fikirlah sendiri” kata Nabil (Raja Lawak Malaysia).
No comments:
Post a Comment