Friday, 28 August 2015

BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA AKWAH


Mahasiswa KUIS agak kritis dalam mengemukakan soalan, khususnya pelajar Diploma Komunikasi Sesi 1 2015-2016. Kursus Bahasa Melayu yang ditawarkan di KUIS menerima soalan tentang hubungan bahasa Melayu dengan aktiviti dakwah. 

Persoalannya, mampukah bahasa Melayu sebagai bahasa dakwah untuk menyampaikan ilmu-ilmu tentang Islam. Sejarah Islam di Tanah Melayu telah membuktikan bahawa bahasa Melayu telah mengislamkan sebahagian besar masyarakat di Kepulauan Melayu, Indonesia, Malaysia, Brunei dan Singapura. Bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar utama dalam menyebarkan Islam di Tanah Melayu. 

Keupayaan bahasa Melayu dalam menyebarkan Islam dapat dilihat melalui penyerapan istilah-istilah Islam. Menurut Hashim Musa, Raja Ali Haji telah menghasilkan kamus yang menyenaraikan istilah-istilah atau kata-kata kunci Islam dengan huraian makna yang terperinci. Menurutnya lagi, masyarakat Melayu akan dapat menerima dan memahami ajaran Islam sekiranya kita berpegang pada huraian makna kata-kata kunci tersebut. 

Contoh kata-kata kunci Islam, Allah, Islam, Ahmad (Muhammad), dosa dan pahala, dan sebagainya. 

Contohnya, andai kata kita memahami kata kunci "Allah" sebagai Tuhan yang maha Esa, Maha berkuasa, Pencipta sekalian alam, Maha penyayang, Maha penerima Taubat dan sebagainya, maka kita boleh memahami Islam itu dengan tepat. Dengan pengertian lain, sekiranya kita memahami huraian makna perkataan "Allah" dengan tepat, tidak ada masalah kita mempelajari Islam melalui bahasa Melayu. 

Apa yang penting ialah huraian makna terhadap istilah-istilah Islam atau kata-kata kunci Islam. Hubungan bahasa dan ilmu amat rapat. Ilmu ialah kandungan bahasa, manakala bahasa ialah alat tempat ilmu itu tersimpan. 

Jika saya bertanya kepada pelajar, apakah maksud al-Quran? 








HORMATI PENCERAMAH/PENSYARAH WALAUPUN MEMBOSANKAN


KUIS, 24 Ogos: Dalam sesi pembentangan pelajar yang bertajuk kesantunan, saya agak tertarik dengan soalan pelajar yang bertanya tentang "apakah pendengar perlu menghormati penceramah/pensyarah yang menyampaikan ceramah/kuliah yang membosankan?"


Pelajar itu bijak menjawab dengan mengemukakan sejarah umat Islam, seorang khalifah atau ilmuwan Islam, (Imam al-Ghazli) kalau tidak silap saya. Katanya, Imam al-Ghazali bertanya kepada seorang fakir miskin tentang jantina seekor kinzir, fakir miskin itupun menunjukkan cara-cara untuk melihat jantina kinzir tersebut. 

Selepas 10 tahun, Imam al-Ghazali berjumpa fakir tersebut, dan dia tetap menghormati fakir miskin itu dan menganggapnya sebagai seorang guru, walaupun fakir miskin itu hanya mengajarnya cara-cara menentukan jantina sejenis binatang. 

Maksudnya, pendengar perlu menghormati orang yang bercakap, khususnya mereka yang sedang menyampaikan ilmu pengetahuan. Pada pandangan saya, kalau agak membosankan, janganlah sampai hilang hormat kepada orang yang sedang menyampaikan ilmu tersebut. Sebab belum tentu anda boleh menyampaikan ilmu dengan berkesan di hadapan khalayak. Mungkin juga orang yang menyampaikan ilmu adalah orang baru mengajar. Berikan peluang dan tunjukkan rasa hormat kepada mereka. 

Terima kasih. 




Saturday, 15 August 2015

WAJIBKAN KURSUS PENULISAN ILMIAH

Penulis berpendapat bahawa orang yang banyak membaca hanya menghimpunkan ilmu dalam otak mereka dan hanya untuk diri mereka. Tetapi orang yang banyak membaca dan menghasilkan penulisan hasil pembacaan itu ialah orang yang menghimpunkan ilmu dan akan mencipta ilmu baharu sekali gus mewariskan ilmu mereka untuk generasi akan datang.  Mewariskan ilmu dalam bentuk untuk generasi akan datang akan sentiasa memberikan saham akhirat (pahala yang berterusan) walaupun penulis tersebut telah meninggal dunia.



Artikel ini akan menghuraikan kepentingan kursus penulisan sebagai subjek wajib universiti kepada semua mahasiswa. Sebelum menghuraikan lebih lanjut, penulis terlebih ingin memberikan definisi dan pendapat penulis tentang penulisan. Kamus Dewan mendefinisikan penulisan sebagai hasil mengarang atau hasil menulis. Penulis pula berpendapat bahawa penulisan ialah hasil pemikiran yang kemudiannya dinyatakan dalam bentuk tulisan yang kemas dan mudah difahami. 

Untuk menjadi mahir dalam penulisan, kita memerlukan latihan yang mencukupi. Pemain bola sepak memerlukan latihan yang banyak untuk menjadi pemain yang hebat. Analoginya begini, “Walaupun saya berikan anda sepuluh buku tentang cara bermain bola sepak dengan betul atau sepuluh buku tentang rahsia kejayaan Diego Maradona (legenda bola sepak dunia) bermain bola sepak, saya pasti anda tetap tidak akan pandai bermain bola sampai bila-bila jika saya tidak memberikan latihan yang mencukupi kepada anda.” Inilah analogi yang sangat sesuai untuk menggambarkan bahawa betapa pentingnya latihan bagi memahirkan diri dalam sesuatu bidang ilmu pengetahuan, termasuklah ilmu bahasa, khususnya ilmu penulisan. Seseorang itu tidak akan mampu menghasilkan penulisan yang membanggakan jika sekadar membaca buku panduan penulisan tanpa melakukan latihan.

Banyak buku panduan tentang penulisan akademik telah dihasilkan, sama ada buku panduan penulisan kertas kerja, jurnal, tesis, penulisan ucapan dan sebagainya.  Hampir setiap universiti, sama ada universiti awam atau swasta di negara ini menerbitkan buku panduan penulisan mereka sendiri untuk pelajar-pelajar mereka. Namun, universiti-universiti ini tidak mewajibkan kursus penulisan ini kepada setiap pelajar, jika ada pun kursus ini hanya ditawarkan kepada pelajar jurusan bahasa sahaja. KUIS (Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor) contohnya, mempunyai panduan penulisan akademik yang ditulis oleh pensyarah KUIS sendiri, tetapi penulis difahamkan bahawa pelajar-pelajar hanya diberikan bengkel cara penulisan yang betul berdasarkan buku tersebut dalam tempoh sehari sahaja.

Bagi penulis, bengkel sehari tidak cukup untuk memahirkan pelajar dalam penulisan, khususnya penulisan ilmiah yang merangkumi tugasan, kertas kerja, tesis, jurnal dan sebagainya. Penulisan ilmiah bukan sekadar menghimpunkan seberapa banyak ayat secara sewenang-wenangnya untuk menghasilkan sesuatu teks. Penulisan juga bukan sekadar mengumpulkan idea tanpa perlu disusun dengan baik. Sebaliknya banyak perkara yang perlu diambil kira dalam penulisan, daripada kesalahan ejaan, penulisan bibliografi, struktur ayat, menyusun idea (dengan teknik pemerian, pendedahan, penghujahan, penceritaan), cara memberikan pentakrifan, percontohan, cara mengutip idea orang lain hinggalah kepada etika penulisan ilmiah dari sudut undang-undang perlu diberi perhatian dalam penulisan. Jadi, mengadakan bengkel penulisan dalam sehari (mungkin dalam 8 jam sahaja) adalah sama halnya dengan memberikan penerangan kepada sekumpulan kanak-kanak tentang cara-cara bermain bola sepak dengan betul dalam masa sehari, dengan harapan kanak-kanak ini akan menjadi pemain bola sepak yang hebat di peringkat antarabangsa pada masa akan datang. Hal ini mustahil untuk berjaya. Ringkasnya, bengkel sehari tidak cukup.

Terbitkanlah sebanyak mungkin buku panduan penulisan jika tidak dijadikan kursus wajib universiti untuk melatih pelajar-pelajar, penulis yakin pelajar-pelajar atau graduan-graduan tidak akan dapat mengembangkan ilmu yang mereka peroleh tanpa kemahiran menulis, dan hal ini akan membantutkan budaya intelek dalam kalangan pelajar. Bakat semula jadi dalam diri pelajar tidak akan dapat dicungkil. Mungkin pelajar memiliki satu idea yang bernas, tetapi tidak tahu bagaimana mengolah idea itu dalam bentuk tulisan. Hal inilah yang menyebabkan pelajar kita melakukan plagiat. Tidak hairanlah jika pelajar-pelajar universiti kita menjadi perompak idea orang lain dengan melakukan teknik cut and paste (dengan izin) apabila diminta menyiapkan kertas kerja atau sebarang tugasan. Tidak hairanlah juga jika ada pelajar Malaysia yang menghantar tugasan dalam versi bahasa Melayu Indonesia akibat daripada perbuatan cut and paste idea orang Indonesia. Persoalannya, siapakah yang patut dipersalahkan jika pelajar melakukan demikian.

Tidak perlu penulis menjawab persoalan tersebut dan tidak perlu menyatakan siapa yang patut dipersalahkan. Sebaliknya penulis mencadangkan satu penyelesaian untuk mengatasi masalah di atas, iaitu memberikan latihan yang mencukupi dengan mewajibkan kursus penulisan kepada semua pelajar sebaik sahaja pelajar-pelajar menjejakkan kaki ke menara gading. Hal ini dicadangkan kerana menulis karangan di peringkat sekolah (SPM khususnya) tidak sama dengan penulisan akademik, atau tugasan yang diberikan di peringkat universiti.

Bagi penulis, tahap keintelektualan seseorang itu tidak dinilai berdasarkan berapa banyak buku yang dibaca, sebaliknya keintelektualan seseorang itu dinilai berdasarkan berapa banyak buku (penulisan) yang dihasilkan, khususnya penulisan ilmu. Malah, untuk menjadi universiti terbaik dunia pun dinilai berdasarkan jumlah buku atau penulisan ilmiah yang diterbitkan setiap tahun. Universiti Oxford, Cambridge, Yale, Harvard dan sebagainya sentiasa mendapat ranking universiti terbaik dunia kerana banyak menghasilkan penulisan ilmiah yang berkualiti setiap tahun. Penulisan ilmiah menjadi kriteria utama dalam penilaian prestasi sesuatu universiti. Negara kita telah memperkenalkan istilah Universiti Penyelidikan (Research University) dengan tujuan memperbanyak penulisan ilmiah.

Pemerhati bahasa melihat ada kelemahan dalam sistem Universiti Penyelidikan ini, iaitu panduan dan latihan penulisan hanya ditekankan kepada pelajar pascasiswazah sahaja. Sepatutnya latihan dan panduan penulisan ilmiah diwajibkan kepada semua pelajar pelbagai bidang (fakulti) sebaik sahaja mereka menjejakkan kaki ke Universiti agar dapat membiasakan mereka dalam penulisan. Bukan hanya diwajibkan kepada pelajar bidang bahasa sahaja. Jika mereka diberikan latihan penulisan pada peringkat awal dengan waktu mencukupi, tidak mustahil pelajar sarjana muda atau diploma sama ada pelajar kejuruteraan, ekonomi, perubatan, sains dan sebagainya boleh menghasilkan penyelidikan yang berkualiti dengan idea mereka sendiri. Hal ini kerana mereka tahu bagaimana untuk menyampaikan idea setalah diberikan latihan yang mencukupi.

Berdasarkan pngalaman penulis, pelajar-pelajar semester pertama hanya diberikan subjek tentang cara memperoleh maklumat dan cara mendapatkan nombor siri buku rujukan. Subjek ini ialah subjek wajib universiti dan ia amat baik, tetapi terlalu bersifat teknikal.  Pelajar hanya diberikan panduan bagaiamana untuk mendapatkan maklumat dan megutip idea orang lain. Apa yang lebih penting ialah pengalamana menulis. Mereka tidak diberikan peluang untuk menulis kertas kerja di peringkat awal, sebaliknya mereka diberikan tugas kertas projek di akhir semester. Sebab itu, ramai pelajar yang gagal menyiapkan kertas kerja projek akibat ketiadaaan pengalaman menulis di peringkat awal.

Kita sedia maklum bahawa antara fungsi utama universiti ialah mengajar pelajar untuk berfikir. Hasil pemikiran mereka ini perlu disimpan dalam bentuk tulisan untuk diwarisi oleh generasi akan datang. Jadi, pelajar perlu diberi latihan bagaimana menyampaikan idea mereka atau buah fikiran mereka dalam penulisan ilmiah. Penulis teringat satu buku bertajuk “Pemikiran Islam” dan buku ini menyatakan bahawa pemikiran Islam merupakan warisan yang tidak ternilai harganya berbanding bentuk warisan tamadun Islam yang lain, seperti seni bina Islam sama ada masjid atau kediaman yang indah. Pemikiran Islam yang dihasilkan oleh ilmuwan Islam ini hanya dapat diwarisi melalui penulisan atau dikenali sebagai karya-karya agung. Ibnu Khaldun, Imam Al-Ghazali, Ibnu Sina dan sebagainya merupakan ilmuwan atau intelektual Islam yang mewariskan idea dan himpunan ilmu mereka melalui penulisan. Jika mereka tidak melakukan penulisan dengan gigih, sudah pasti ilmu yang mereka miliki tidak akan diwariskan kepada kita. Begitu juga dengan ilmuwan Islam di Nusantara seperti Sheikh Nuruddin al-Raniri, Hamzah Fansuri, Samsuddin al- Sumatrani, Raja Ali Haji, Tajuddin Abdul Fadzil, Zainal Abidin Ahmad, Hamka merupakan penulis-penulis yang menghasilkan penulisan yang sangat berguna kepada generasi akan datang.


Penulis berpendapat bahawa orang yang banyak membaca hanya menghimpunkan ilmu dalam otak mereka dan hanya untuk diri mereka. Tetapi orang yang banyak membaca dan menghasilkan penulisan hasil pembacaan itu ialah orang yang menghimpunkan ilmu dan akan mencipta ilmu baharu sekali gus mewariskan ilmu mereka untuk generasi akan datang. Penulisan juga boleh dilihat dalam kerangka ibadah, iaitu berdakwah. Dalam konteks universiti, penulisan memainkan peranan penting dalam merancakkan budaya intelektual dalam kalangan pelajar.  Oleh itu, setiap universiti perlu mewajibkan kurus penulisan kepada semua pelajar peringkat semester satu Ijazah Sarjana Muda atau Diploma, bukannya mewajibkan subjek metodologi penyelidikan hanya pada peringkat Ijazah Sarjana.

SALAH FAHAM TENTANG KEMAMPUAN BAHASA MELAYU

Warganegara Malaysia harus memahami bahawa banyak faktor lain yang mempengaruhi kemajuan sesebuah negara, bukannya hanya penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan rakyatnya semata-mata. Faktor tersebut ialah adanya kekuatan adab dan akhlak, sistem pendidikan yang mantap, penguasaan ilmu yang hebat, kestabilan politik, sistem agihan ekonomi yang adil, disiplin kerja yang tinggi, sikap menepati masa, pentadbiran yang teratur, kestabilan sosial, ketiadaan rasuah, ketiadaan pembaziran, ketirisan dan sebagainya.



Ramai yang meragui kemampuan bahasa Melayu sebagai lambang kemajuan negara, termasuklah para pemimpin. Mereka menganggap bahawa bahasa Melayu tidak mampu menjadi alat kemajuan bangsa. Mereka berpendapat, kita hanya akan maju sekiranya kita menguasai bahasa Inggeris. Bagi mereka, penguasaan bahasa Inggeris merupakan cara utama untuk memajukan negara kita. Tanggapan ini menjadikan mereka melihat pejuang bahasa Melayu sebagai penghalang kemajuan negara, kolot dan ketinggalan zaman. Golongan pejuang bahasa dianggap tidak mahu menerima pembangunan. Inilah salah faham yang menjadikan bahasa Melayu terus terpinggir.

Ingin ditegaskan di sini, bahawa bahasa Inggeris bukanlah satu-satunya penentu kemajuan sesebuah negara. Banyak faktor lain yang menjadikan negara kita maju. Kita telah saksikan bahawa banyak negara yang telah maju dengan bahasa mereka sendiri. Mereka membangun dengan pantas melalui bahasa ibunda mereka. Jepun Rusia, Korea, Perancis, Itali menjadi negara maju dengan bahasa mereka masing-masing. Industri kereta di Jepun maju melalui bahasa Jepun. Rusia setanding negara-negara Barat dalam bidang angkasa, sains dan teknologi, dan persenjataan melalui bahasa Rusia. Malah Angkasawan negara kita pernah berkata “saya terpaksa mengambil kursus bahasa Rusia kerana mereka (Rusia) tidak memerlukan bahasa Inggeris untuk mengendalikan pesawat angkasa lepas.

Warganegara Malaysia keseluruhannya harus memahami bahawa banyak faktor lain yang menjadikan negara kita maju, bukannya hanya penguasaan bahasa Inggeris semata-mata. Faktor tersebut ialah adanya sistem pendidikan yang mantap, penguasaan ilmu yang hebat, kekuatan akhlak, kestabilan politik, sistem agihan ekonomi yang adil, masyarakat yang mempunyai disiplin masa yang tinggi terhadap kerja, pentadbiran yang teratur, kestabilan sosial, ketiadaan rasuah, ketiadaan pembaziran, ketirisan dan sebagainya. Semua unsur ini menjadi penentu kemajuan negara dan bukannya penguasaan bahasa Inggeris.

Persoalannya ialah adakah negara kita akan maju hanya dengan penguasaan bahasa Inggeris sedangkan dalam masa yang sama para pemimpin yang bijak berbahasa Inggeris mengamalkan rasuah, para pekerja kerajaan dan kakitangan swasta mengamalkan rasuah, malas bekerja, tidak menepati masa, tidak berdisiplin dalam pekerjaan dan sebagainya. Bolehkah kita menjadi negara maju jika hanya menguasai bahasa Inggeris tetapi dalam masa yang sama tidak berilmu, dan tidak berakhlak? Ingat, pasukan bola sepak Jepun dan Korea sentiasa layak ke Piala Dunia bukan kerana pemain mereka menguasai bahasa Inggeris, tetapi mereka layak ke Piala Dunia kerana disiplin yang tinggi dalam kalangan pemain, pengurusan sukan yang mantap, latihan yang teratur, pemakanan yang teratur, tidak menggunakan ‘orang dalam’ dalam pemilihan pemain dan sebagainya.

Pejuang bahasa bukanlah menghalang penguasaan bahasa asing dalam kalangan rakyat Malaysia. Tidak seorang pejuang bahasa pun pernah mengeluarkan kenyataan yang melarang rakyat negara ini untuk mempelajari bahasa-bahasa asing. Malah pejuang bahasa menyokong rakyat Malaysia untuk menguasai seberapa banyak bahasa yang mereka boleh kuasai. Selain itu, kita tidak pernah melihat pejuang bahasa berdemonstrasi, berarak di jalanan membawa sepanduk untuk menghalang pengajaran dan pembelajaran bahasa asing di negara ini. Belum pernah juga pejuang bahasa dilihat melarang subjek bahasa Inggeris diajar di sekolah rendah hingga ke pengajian tinggi. Malah pengajaran bahasa asing tumbuh subur di Malaysia.  Pengajaran bbahasa Arab, bahasa Perancis, bahasa Jepun, China, Rusia, Belanda, dan sebagainya diajarkan di sebahagian besar pengajian tinggi negara ini.

Penguasaan bahasa asing yang banyak akan menjadikan kita berpengetahuan luas dan dengan pengetahuan yang luas ini membolehkan kita memajukan diri. Hal ini yang telah dilakukan oleh Jepun sebelum menjadi kuasa besar dunia. Kerajaan Jepun menghantar pelajar-pelajar mereka di beberapa negara maju yang pelbagai bahasa untuk menuntut ilmu dan kemudian pulang ke negara asal bersama ilmu tersebut. Seterusnya ilmu tersebut diterjemahkan ke dalam bahasa Jepun. Sebelum dihantar, pelajar tersebut diberi kursus bahasa berdasarkan negara yang hendak dilawati. Sekiranya pelajar tersebut bakal dihantar ke Rusia, pelajar tersebut akan diajar bahasa Rusia beberapa bulan hingga boleh berkomunikasi walaupun tidak sepandai mana, asalkan dapat berkomunikasi dan mengutip seberapa banyak ilmu untuk negara mereka. Kaedah ini menjadikan Jepun maju bersama bahasanya sendiri.

Sekiranya kita lihat Indonesia beberapa tahun yang lalu, negara itu lumpuh bukan kerana sebilangan besar rakyat negara itu gagal menguasai bahasa Inggeris, sebaliknya negara Indonesia muflis kerana skandal rasuah yang berleluasa; Indonesia lumpuh kerana kegagalan pentadbiran, Indonesia mengalami kemiskinan kerana pengurusan ekonomi yang kurang cekap dan sebagainya. Mereka musnah bukan kerana sebahagian besar rakyatnya gagal menguasai bahasa Inggeris. Di Filipina pula, sebahagian besar rakyat negara itu menguasai bahasa Inggeris, tetapi masih mundur. Lihat sahaja buruh asing Filipina, khususnya pembantu rumah yang datang ke Malaysia, kebanyakan mereka menguasai bahasa Inggeris dengan baik, tetapi menjadi pembantu rumah di negara ini.

Oleh itu, tanggapan hanya dengan penguasaan bahasa Inggeris sahaja kita boleh maju perlu diperbaiki dan diubah. Kita perlu meyakini bahawa bahasa Melayu sebagai dasar bahasa dapat memajukan negara kita sendiri. Hal ini kerana kita yakin, sejak Akta Bahasa Kebangsaan 1967 diperkenalkan yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan, negara kita telah melahirkan ribuan graduan yang berjaya sama ada di dalam dan di luar negara dalam pelbagai bidang. Malah ramai profesor dalam bidang sains dan teknologi telah dilahirkan sedangkan mereka dahulunya dididik dalam bahasa Melayu. Inilah bukti kemampuan bahasa Melayu terhadap pembangunan negara.


Oleh itu, kita kena yakin dan percaya bahawa bahasa Melayu mampu memajuk negara kita dan berdaya saing dalam pelbagai bidang, termasuklah sains dan teknologi. Akhir kata, sehebat mana orang kita berbahasa Inggeris jika mengamalkan budaya negatif (rasuah, tidak berdisiplin, salah urus tadbir, ketirisan, akhlak buruk dan sebagainya), sudah pasti negara kita akan…. “Lu fikirlah sendiri” kata Nabil (Raja Lawak Malaysia).

PENDIDIKAN SEKS: ISTILAH YANG SALAH

Pendidikan seks yang hendak dilaksanakan oleh kerajaan itu mendapat reaksi yang negatif dan agak sukar untuk diterima oleh sebahagian besar masyarakat Malaysia. Reaksi yang negatif dan kesukaran untuk diterima ini bukan disebabkan oleh silibus kursus tersebut, sebaliknya ia disebabkan oleh istilah pendidikan seks yang kurang tepat. Istilah yang salah ini menimbulkan persepsi buruk terhadap subjek tersebut.



Artikel kali ini menyentuh istilah yang menjadi isu pendidikan, iaitu istilah Pendidikan Seks (PS). Penulis ingin menghuraikan istilah PS dari sudut disiplin ilmu bahasa; dan bukannya menyentuh soal sama ada pendidikan ini sesuai atau tidak dilaksanakan di negara ini. Sesuai atau tidak pendidikan tersebut dilaksanakan itu berada di luar bidang kepakaran penulis. Penulis hanya ingin membincangkan soal istilah PS dan reaksi masyarakat yang menentang pelaksanaan pendidikan tersebut.

Berdasarkan pemerhatian penulis, PS yang hendak diperkenalkan dan yang hendak dilaksanakan oleh kerajaan dalam sistem pendidikan Negara mendapat reaksi yang negatif dan agak sukar untuk diterima oleh sebahagian besar masyarakat Malaysia. Pada pendapat penulis, reaksi yang negatif dan kesukaran untuk diterima ini bukan disebabkan oleh silibus kursus tersebut, sebaliknya ia disebabkan oleh istilah pendidikan seks yang kurang tepat. Selain itu, istilah yang salah ini menimbulkan persepsi buruk terhadap subjek tersebut.

Kerajaan memperkenalkan PS untuk diajar di sekolah rendah. Kerajaan sentiasa memberikan kefahaman kepada masyarakat bahawa PS bukanlah pendidikan yang mengajar anak-anak untuk melakukan seks, sebaliknya PS adalah untuk mendidik pelajar-pelajar tentang jantina antara lelaki dan perempuan, tentang cara mengelak daripada menjadi mangsa rogol, sumbang mahram, hak ketika dirogol, mendidik cara pergaulan yang baik, memberi tahu kesan buruk seks bebas dan sebagainya.

Namun demikian, subjek ini mendapat tentangan ramai, khususnya ibu bapa kerana mereka memberikan tafsiran yang berlainan dengan pengisian pendidikan yang dimaksudkan oleh kerajaan. Dalam fikiran ibu bapa kita, PS ialah subjek yang akan mengajar cara-cara melakukan hubungan kelamin antara lelaki dan perempuan. Tafsiran ini membimbangkan ibu bapa kerana bagi mereka PS ini akan meningkatkan lagi masalah sosial yang lain, seperti kes rogol, buang bayi dan sebagainya.

Penulis berpendapat bahawa tafsiran ibu bapa yang berlainan dengan apa yang dimaksudkan oleh kerajaan tidak dapat dielakkan. Terdapat dua kemungkinan besar berlakunya tafsiran PS yang tidak selari antara kerajaan dengan masyarakat, khususnya ibu bapa. Pertama ialah definisi seks dalam Kamus Dewan memberikan dua pengertian, iaitu 1. sifat-sifat yg membezakan laki-laki dan perempuan, jantina; 2. keinginan syahwat. Jadi, sekiranya perkataan pendidikan dirangkaikan dengan perkataan seks, maka istilah pendidikan seks membawa makna pendidikan tentang sifat-sifat yang membezakan lelaki dan perempuan, pendidikan jantina dan pendidikan keinginan syahwat. Dewan Bahasa dan Pustaka juga tidak mewujudkan istilah Pendidikan Seks dalam Kamus Dewan berserta dengan definisinya sekali. Jadi, pelbagai makna atau konsep boleh diberikan terhadap istilah PS oleh sesiapa yang pertama kali mendengarnya. Contohnya, PS boleh diertikan sebagai pendidikan yang mengajar tentang keinginan syahwat dan melakukan seks.

Sebab kedua mengapa PS ini menimbulkan kekeliruan ialah pihak media sama ada media cetak atau media elektronik sering menggunakan istilah khidmat seks yang lebih menjurus kepada hubungan kelamin antara lelaki dan perempuan secara tidak sah. Dengan pengertian, penggunaan khidmat seks yang mendominasi liputan media elektronik dan media cetak hari ini telah memberi gambaran buruk terhadap istilah seks dalam kalangan seluruh rakyat Malaysia. Istilah khidmat seks ini sering didengari melalui laporan-laporan berita tentang pelacuran, laporan berita tentang rumah-rumah urut yang tidak ada permit yang sah dan sebagainya. Jika perkataan seks dirangkaikan dengan perkataan pendidikan yang mewujudkan istilah pendidikan seks, maka pendidikan seks ini boleh membawa maksud pendidikan tentang hubungan kelamin antara lelaki dan perempuan secara haram di sisi Islam.

Dari sudut hukum tatabahasa, iaitu hukum D-M (unsur menerangkan dan unsur diterangkan), khidmat seks dan pendidikan seks mempunyai unsur penerang yang sama, iaitu seks. Dengan pengertian lain, istilah khidmat seks ini memberi kesan terhadap istilah pendidikan seks itu sendiri, kerana wujud padanan makna seks yang sama antara kedua-dua istilah tersebut. Oleh itu, tidak hairanlah jika makna PS diertikan sebagai pendidikan tentang hubungan kelamin antara lelaki dan perempuan sama seperti kita memberikan makna bagi istilah khidmat seks. Padanan makna kedua-dua istilah ini yang menimbulkan kekeliruan masyarakat kita sehingga ada yang membangkang hasrat kerajaan tersebut.

Perkara utama dalam pembentukan istilah ialah bahasa Melayu hendaklah diutamakan selagi membawa makna yang tepat, halus dan tidak menimbulkan konotasi yang buruk sebelum memilih bahasa asing. Oleh itu, dalam konteks PS, perkataan seks yang dipinjam daripada bahasa Inggeris mempunyai padanan yang tepat dan halus dalam bahasa Melayu, iaitu jantina. Jadi, PS perlu ditukar kepada Pendidikan Jantina. Jika ditanya apakah maksud pendidikan jantina, kita boleh menjawab pendidikan jantina adalah sebahagian pendidikan akhlak yang mengatur kehidupan seksual berdasarkan Islam.

Semasa isu pendidikan seks ini hangat, penulis terbaca sebuah artikel dalam akhbar tempatan yang mencadangkan agar istilah PS ditukar kepada Pendidikan Akhlak. Menurut artikel tersebut, Pendidikan Akhlak lebih tepat dan selari dengan pengisian subjek PS yang bertujuan mendidik akhlak bagi mengurangkan masalah sosial dalam kalangan pelajar. Walaupun subjek PS menyentuh hal-hal kelamin, tetapi tumpuan utamanya adalah lebih kepada didikan akhlak. Malah dalam sebuah buku bertajuk Kefahaman dan Pendidikan Seks dalam Islam (Hanafi Muhamad, 1994) turut menggunakan istilah PS dan menyatakan bahawa PS adalah sebahagian daripada Pendidikan Akhlak. Menurut buku tersebut, tujuan PS adalah untuk mendidik etika akhlak yang mengatur kehidupan seksual manusia sejak ia lahir sampai dewasa antara mereka yang berlainan jenis, berdasarkan iman sebagaimana yang digariskan oleh Al-Quran dan Sunnah. Dengan pengertian lain, PS merupakan satu aspek dalam pendidikan akhlak.

Kesimpulannya, istilah pendidikan seks perlu dikemas kini bagi mengurangkan kekeliruan. Penulis melihat bahawa kekeliruan itu timbul disebabkan oleh pengisian subjek PS tidak selari dengan maksud atau erti seks tersebut. Dengan kata lain, perkataan seks sering dirujuk sebagai hubungan kelamin oleh sebahagian besar rakyat Malaysia, seperti definisi seks dalam Kamus Dewan dan maksud khidmat seks yang sering diungkapkan dalam media arus perdana. Mungkin lebih tepat jika menggunakan istilah Pendidikan Jantina atau Pendidikan Akhlak.





KAMUS MENYEBUT "SAMAN" TIDAK PERLU DIBAYAR!


Kamus Dewan mendefinisikan saman sebagai perintah rasmi yang menuntut seseorang hadir ke mahkamah untuk didakwa dan maksud kedua ialah surat panggilan untuk diadili.  Kamus ini juga tidak memberikan makna lain, seperti perintah untuk membayar sesuatu hukuman sama ada bayaran dibuat di balai polis atau pejabat pos. 


Apabila menyentuh istilah undang-undang jalan raya, kita sering mendengar perkataan saman, notis saman, denda, kompaun dan terbaru istilah saman ekor. Perkataan saman sangat hangat disebut ketika ini ekoran tawaran kerajaan untuk mengurangkan jumlah bayaran saman sebanyak 50% yang tamat 28 Februari 2011. Puluhan artikel di dada-dada akhbar dan media elektronik telah memberikan reaksi tentang saman trafik ini. Ada yang bersetuju, ada yang merungut dengan saman ekor dan ada yang menentangnya dari sudut undang-undang.

Berdasarkan pemerhatian, penulis mendapati artikel-artikel yang memenuhi akhbar dan Internet itu tidak memperincikan makna saman berdasarkan kamus sebelum menghuraikan isu saman sama ada perlu dibayar atau tidak. Oleh itu, penulis berhajat untuk memperlihatkan makna saman yang terdapat dalam kamus dan membandingkannya dengan penggunaan perkataan saman dalam media cetak dan media elektronik. Dengan perkataan lain, penulis berhajat untuk menghuraikan penggunaan istilah saman yang sering disamaertikan dengan perkataan denda dan kompaun.

Di pejabat pos, kita sering mendengar ungkapan adakah anda telah menjelaskan saman anda? dan ungkapan Pejabat pos ini tidak menguruskan pembayaran saman. Di dalam media cetak dan elektronik, ungkapan jelaskan saman anda sebelum 28 Februari, jika gagal nama anda akan disenaraihitamkan. Di dalam kertas semakan saman kita terbaca ungkapan senarai saman yang belum dijelaskan bagi nombor kad pengenalan X ialah RM1000, dan papan tanda tertulis seperti kaunter semakan dan bayaran saman. Ayat-ayat yang disebutkan di atas seolah-olah perkataan saman membawa maksud denda yang mesti dibayar.

Ketika artikel ini ditulis, ratusan ribu (mungkin jutaan) pesalah trafik sedang menyerbu balai polis dan pejabat pos di seluruh negara untuk menjelaskan saman mereka pada saat-saat akhir, iaitu 27 dan 28 Feb 2011, tarikh tamat tawaran 50% potongan bayaran atas kesalahan yang dilakukan. Penulis perhatikan dalam tempoh tersebut, mereka sanggup datang seawal enam pagi untuk mendapatkan nombor giliran pembayaran kerana pengeluaran nombor giliran terhad. Mereka sanggup beratur panjang dan berasak-asak berjam-jam lamanya hanya untuk membayar saman bagi mengelakkan diri daripada disenaraihitamkan.

Sebenarnya saman, kompaun dan denda mempunyai maksud yang berlainan jika kita merujuk Kamus biasa dan Kamus Istilah undang-undang. Penulis memilih tiga kamus untuk menunjukkan makna saman yang sebenarnya dan membandingkannya dengan ungkapan-ungkapan yang diberikan di atas. Selain itu, penulis ingin membandingkan makna saman tersebut dengan apa yang berlaku terhadap pesalah-pesalah trafik. Kamus pertama ialah Kamus Dwibahasa Bahasa Inggeris-Bahasa Melayu, Edisi Kedua (2002) terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Kedua ialah Kamus Dewan, Edisi Keempat (2005) terbitan DBP. Ketiga ialah kamus istilah undang-undang yang bertajuk Maksim dan Ungkapan Undang-undang yang ditulis oleh Mohd. Radzali Masrum (2001) juga diterbitkan oleh DBP. 

Perkataan saman diserap daripada bahasa Inggeris, iaitu summons. Summons pula didefinisikan oleh Kamus Bahasa Inggeris-bahasa Melayu (2002:1259-1260) sebagai memanggil, mengarahkan atau memerintah seseorang untuk hadir ke mahkamah. Kamus ini tidak memberikan makna lain selain yang diberikan tadi. Kamus ini juga mendefinisikan menyaman sebagai memerintah seseorang untuk hadir ke mahkamah. 

Apabila perkataan summons ini diserap ke dalam bahasa Melayu, perkataan summons menjadi saman, tanpa mengalami perubahan makna asal, sama ada peluasan atau penyempitan makna. Kamus Dewan (2005:1377) mendefinisikan saman sebagai perintah rasmi yang menuntut seseorang hadir ke mahkamah untuk didakwa dan maksud kedua ialah surat panggilan untuk diadili.  Kamus ini juga tidak memberikan makna lain, seperti perintah untuk membayar sesuatu hukuman sama ada bayaran dibuat di balai polis atau pejabat pos. 

Kamus Istilah Undan-undang, iaitu Maksim dan Ungkapan Undang-undang (2001:367) juga mendefinisikan saman sebagai satu dokumen yang dikeluarkan dari pejabat sesebuah mahkamah keadilan yang mengarahkan orang yang namanya disebut di dalamnya menghadirkan diri di hadapan seorang hakim atau pegawai mahkamah. Buku istilah ini juga tidak menyatakan maksud lain. 

Maksud saman yang diberikan oleh tiga kamus di atas adalah jelas berbeza dengan maksud kompaun dan denda. Dengan kata lain, saman, kompaun dan denda bukanlah perkataan sinonim atau sama maksud.  Di sini memadai dengan mengambil pengertian yang diberikan oleh Kamus Dewan untuk melihat maksud kompaun dan denda untuk membandingkan maksud saman. Kompaun dalam Kamus Dewan bermaksud denda yang perlu dibayar tanpa perlu melalui pendakwaan di mahkamah, manakala denda pula didefinisikan sebagai hukuman berupa wang, sejumlah wang yang mesti dibayar kerana telah melakukan sesuatu kesalahan atau telah melanggar peraturan.

Oleh itu, ungkapan seperti adakah anda telah menjelaskan saman anda? hendaklah ditukar kepada adakah anda telah menjelaskan kompaun  atau denda anda?, Pejabat pos ini tidak menguruskan pembayaran saman hendaklah ditukar menjadi Pejabat pos ini tidak menguruskan pembayaran kompaun trafik (denda trafik).  Ungkapan jelaskan saman anda sebelum 28 Februari 2011, jika gagal nama anda akan disenaraihitamkan hendaklah ditukar kepada jelaskan denda trafik anda sebelum 28 Februari, jika gagal nama anda akan disenaraihitamkan. Ungkapan senarai saman yang belum dijelaskan bagi nombor kad pengenalan X ialah RM1000 hendaklah ditukar kepada senarai jumlah denda yang belum dijelaskan bagi nombor kad pengenalan X ialah RM1000, kaunter semakan dan bayaran saman hendaklah ditukar kepada Kaunter semakan saman dan kaunter bayaran kompaun dan sebagainya.

Perkataan saman yang digunakan dalam ayat-ayat di atas hendaklah ditukar kerana membawa maksud yang berlainan. Contohnya adakah anda telah menjelaskan saman anda? membawa maksud adakah anda telah membayar surat perintah untuk hadir ke mahkamah, jelaskan saman anda sebelum 28 Februari akan membawa maksud jelaskan (bayar) surat perintah mahkamah anda sebelum 28 Februari. Begitu juga dengan ayat-ayat yang lain. Semuanya diminta membayar surat perintah mahkamah. Ungkapan-ungkapan di atas hanya akan benar jika surat perintah yang dikeluarkan oleh polis atau Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) perlu dibayar selain membayar denda atas kesalahan yang dilakukan. Dengan perkataan lain, pesalah membayar surat perintah yang dikeluarkan oleh polis atau JPJ.

Selain itu, ayat-ayat di atas juga akan benar sekiranya perkataan saman itu mengalami peluasan makna, iaitu maksud saman telah disamaertikan dengan kompaun atau denda. Namun demikian, tiga kamus yang penulis rujuk di atas, tidak ada satu kamus pun yang menyamakan maksud saman dengan maksud kompaun atau denda. Dalam undang-undang, bahasa hendaklah tepat, kerana kaedah pentafsiran undang-undang mengutamakan kaedah harfiah, iaitu melihat maksud secara langsung atau yang tersurat. Oleh itu, ungkapan saman perlu digunakan dengan tepat berdasarkan maksud yang diberikan oleh kamus.

Apa yang hendak dijelaskan atau dibayar bukanlah saman, tetapi apa yang dijelaskan (dibayar) ialah kompaun, iaitu bayaran hukuman atau denda atas kesalahan yang dilakukan tanpa melalui pembicaraan mahkamah. Kompaun ini dikenakan apabila pemandu atau pengguna jalan raya mengakui kesalahannya setelah diberikan notis saman. Jadi, pesalah-pesalah yang menyerbu balai polis dan pejabat pos pada hari tersebut dianggap sebagai pesalah-pesalah yang mengaku bersalah sebelum dibicarakan.

Ada yang mendakwa perkataan kompaun itu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, khususnya atas kesalahan saman ekor. Hal ini kerana Perlembagaan Persekutuan mengatakan bahawa hanya mahkamah sahaja yang boleh mengesahkan seseorang itu bersalah atau tidak, bukannya polis atau JPJ yang menentukan kesalahan. Hal ini di luar bidang kepakaran penulis untuk menghuraikannya di sini. Kesimpulannya ialah penggunaan istilah saman bukanlah hukuman, tetapi sekadar surat perintah untuk hadir ke mahkamah. Sama ada pesalah mengaku bersalah, atau keliru dan dikelirukan oleh perkataan saman yang menyebabkan mereka menyerbu balai polis dan pejabat pos, hal ini perlu dikaji secara mendalam. Penulis hanya menyeru kepada semua rakyat Malaysia agar memiliki sekurang-kurangnya satu kamus, khususnya Kamus Dewan kerana kamus ini dapat membantu anda untuk memahami banyak perkara dan pelbagai bidang ilmu pengetahuan, termasuk ilmu undang-undang. Satu Rumah Satu Kamus Dewan!


KESALAHAN MENGHALANG PENJAWAT AWAM: SATU ANALISIS SEMANTIK

Menurut peguam bela tersebut, dalam kertas pertuduhan yang mendakwa tertuduh telah menghalang penjawat awam menjalankan tugasnya bukanlah satu kesalahan. Hal ini kerana tuduhan itu tidak menunjukkan sebarang tindakan dengan niat menghalang. Hal ini kerana longgokkan kayu juga boleh menghalang penjawat awam menjalankan tungasnya. Dengan kecacatan kertas tutuhan ini, maka tertuduh hendaklah dibebaskan.


(bahasa peguam)




Artikel ini mengetengahkan satu kes mahkamah yang penulis baca daripada sebuah artikel akhbar awal tahun ini. Dalam kes tersebut, tertuduh (defendan) dibicarakan selama tiga tahun dan akhirnya dilepaskan atas tuduhan menghalang penjawat awam melakukan tugasnya sebagai kakitangan kerajaan. Ada dua sebab defendan dilepaskan, iaitu (i) kertas pertuduhan mengandungi kecacatan; (ii) keterangan saksi yang bercanggah antara satu sama lain. Dalam artikel ini, penulis akan membincangkan sebab pertama dari sudut ilmu semantik atau ilmu makna.

Dalam kes tersebut, dua peguam yang mewakili defendan atau tertuduh mendapati berlaku kecacatan dalam kertas pertuduhan. Dalam ilmu semantik, kecacatan ini dianggap sebagai ketaksaan atau kekaburan makna. Dalam kertas pertuduhan mengatakan bahawa:

1.          Tertuduh telah menghalang penjawat awam menjalankan tugasnya.

Sekali baca, Ayat 1 (A1) di atas menunjukkan dengan jelas bahawa tertuduh telah melakukan kesalahan, iaitu perbuatan menghalang penjawat awam melakukan tugasnya. Dalam fikiran kita, kita dapat bayangkan telah berlaku adegan tolak menolak antara tertuduh dengan pihak penjawat awam. Selain itu, kita dapat membayangkan tertuduh membentangkan tangannya (seolah-olah cuba menangkap seekor ayam) bagi menghalang penjawat awam tersebut. Kita juga membayangkan bahawa tertuduh tidak membenarkan penjawat awam melakukan tugasnya. Perkara-perkara ini yang kita fikirkan dan menyatakan bahawa ayat dalam pertuduhan itu sudah lengkap untuk mendakwa tertuduh di mahkamah.

Namun demikian, pihak peguam yang mewakili defendan telah membuktikan bahawa A1 tersebut mengalami kecacatan. Menurut peguam bela tersebut, tertuduh telah menghalang penjawat awam menjalankan tugasnya bukanlah satu kesalahan. Hal ini kerana tuduhan itu tidak menunjukkan sebarang tindakan dengan niat menghalang. Dengan itu, tidak menjadi satu kesalahan perbuatan menghalang tanpa niat dan oleh sebab itu tertuduh hendaklah dilepaskan. Persoalannya ialah “di manakah cacatnya pertuduhan tersebut?

Sebelum melihat mengapa Ayat 1 dikatakan mengalami kecacatan dari sudut semantik, penulis ingin menunjukkan empat jenis ketaksaan yang telah disenaraikan oleh Ruth M. Kempson (Semantik, terjemahan Zaiton Abd. Rahman 1991:149-167), antaranya ialah (i) kekaburan rujukan, iaitu makna perkataan pada dasarnya sudah cukup jelas, tetapi sukar ditentukan sama ada perkataan tersebut boleh digunakan pada benda-benda tertentu; (ii) ketidakpastian makna, iaitu makna perkataan itu sendiri tidak pasti; (iii) kurang ketentuan pada makna perkataan itu sendiri, iaitu maknanya jelas tetapi dinyatakan secara umum sahaja; (iv) pertentangan pada penentuan makna perkataan, iaitu makna yang diberikan terlibat dengan pernyataan atau yang mempunyai kemungkinan tafsiran yang berlainan.

Pada pendapat penulis, kekaburan ketiga yang disebut oleh Ruth M. Kempson telah berlaku dalam A1. A1 tersebut mempunyai makna yang jelas, tetapi dinyatakan secara umum sahaja dan ini memberi ruang kepada wujudnya ketaksaan atau pelbagai tafsiran yang lain, atau dalam istilah undang-undang sebagai satu kecacatan. Jika dianalisis dari sudut makna perkataan atau analisis rujukan makna, perkataan menghalang ini boleh hadir dalam pelbagai ayat dan menghasilkan pelbagai makna yang berlainan antara satu sama lain. Lihat ayat berikut bagaimana perkataan menghalang boleh hadir dan dapat menunjukkan perbezaan makna antara satu sama lain.

2.          Mohammad Ali telah menghalang penjawat awam menjalankan tugasnya.
3.          Longgokkan kayu balak itu telah menghalang penjawat awam menjalankan tugasnya.
4.          Hujan lebat dan petir itu telah menghalang penjawat awam melakukan tugasnya.

Tiga ayat di atas menunjukkan bahawa terdapat banyak benda lain yang boleh menghalang penjawat awam melakukan tugasnya, seperti kayu balak, hujan lebat, petir dan sebagainya. Ketiga-tiga ayat di atas tidak boleh dianggap sebagai telah melakukan kesalahan dan boleh dijatuhkan hukuman. Hal ini kerana sesiapa pun dan benda-benda apa pun boleh menghalang penjawat awam melakukan tugasnya, yang membezakannya ialah sama ada dilakukan dengan niat atau sebaliknya. Di sinilah “kebijaksanaan” peguam bela tersebut dalam mengeksploitasi bahasa untuk berhujah. Dengan ayat lain, dengan penguasaan ilmu bahasa, khususnya ilmu semantik, peguam tersebut dapat memanipulasi bahasa untuk membebaskan tertutuh. Analisis di atas dianggap sebagai analisis komponen makna pada peringkat ayat, iaitu mencirikan makna sesuatu perkataan atau frasa dengan menyenaraikan ciri-ciri pembeza. Niat menjadi ciri pembeza dalam ayat berikut:

5.          Mohammad Ali telah dengan sengaja menghalang penjawat awam menjalankan tugasnya.
6.          Mohammad Ali telah dengan tidak sengaja telah menghalang penjawat awam melakukan tugasnya.

Ayat 5 dan 6 di atas jelas mempunyai perbezaan yang ketara. Subjek bagi ayat 2, 3 dan 4 pula mempunyai fungsi yang sama, itu menghalang penjawat awam tanpa melibatkan niat. Oleh itu, tiga ayat tersebut tidak melakukan satu kesalahan.  Lihat contoh berikut. Ayat 7-9 yang berikut akan menjadi tidak boleh diterima akal apabila diberikan unsur niat.

7.          Pokok yang tumbang itu telah dengan sengaja menghalang kami menuruskan perjalanan ke Kuala Lumpur.
8.          Mayat yang masih terbaring di atas jalan raya itu telah dengan sengaja menghalang lalu lintas.
9.          Jambatan yang rosak itu telah dengan sengaja menghalang kami menyeberangi sungai itu.

Ayat 7-9 merupakan ialah ayat yang tidak gramatis kerana subjeknya tidak bernyawa tetapi diberikan unsur niat. Bagi subjek yang bernyawa, khususnya manusia, boleh diberikan unsur niat, seperti dalam A1 yang boleh menghasilkan dua kemungkinan yang terdapat dalam ayat 5 dan 6. Dalam konteks inilah pentingnya ilmu semantik, khususnya analisis komponen makna, makna rujukan, analisis syarat kebenaran dan sebagainya.

Penulis berpendapat bahawa Akta Polis 1967 [(Akta 344, keluaran Hingga 5 Februari 2009) yang digunakan untuk mendakwa seseroang perlu dikemas kini bagi mengelakkan kecacatan. Dengan perkataan lain, pernyataan-pernyataan pertuduhan perlu diperincikan dengan melihat ilmu semantik. Pernyataan seperti “seseorang yang menghalang, membangkang atau ingkar...adalah telah melakukan suatu kesalahan...(seksyen 21, Bahagian VII)” mengalami kecacatan kerana tidak diberikan unsur niat. Oleh itu, akta tersebut perlu dikemas kini bagi memantapkan sistem tersebut dengan memberikan unsur niat.

Kesimpulannya ialah bidang undang-undang memerlukan bahasa yang jelas, tepat dan terperinci bagi mengelak ketaksaan atau tafsiran yang pelbagai. Penulis mendapati, krisis Perlembagaan yang berlaku banyak disebabkan oleh ketaksaan ini dalam teks undang-undang. Kelemahan bahasa dalam undang-undang menyebabkan keputusan mahkamah tidak konsisten. Walaupun bidang kehakiman mempunyai pendekatan tafsiran undang-undang, iaitu pendekatan harfiah (The Literal Approach), keemasan (The Golden Rule), kemudaratan (The Mischief Rule) dan tujuan (The Purposive Approach), namun ilmu semantik dapat membantu mengurangkan krisis pentafsiran. Kaedah analisis semantik dapat menutup ruang-ruang ketaksaan, kekaburan tau kecacatan. 

ISU TULISAN JAWI ATAU AL-QURAN DALAM KAD JEMPUTAN


“Apa yang penulis cadangkan ialah sikap perlu diubah. Kita perlu mendidik masyarakat agar menghargai kad-kad jemputan tersebut, khususnya yang tertera kalimah-kalimah Allah walaupun ditulis selain tulisan jawi atau Arab. Alangkah baiknya jika kita menyimpan kad-kad jemputan yang tertulis nama Allah atau ayat-ayat Allah di permukaan kad-kad jemputan dan menjadikannya sebagai koleksi serta kenang-kenangan di masa akan datang”

  
Sebelum memulakan kerja, setiap pagi, penulis akan menikmati Nescafe ais atau panas dan sekeping roti kosong. Selain menikmati minuman kegemaran, penulis juga sering menyediakan santapan minda dengan membaca akhbar. Seperti biasa, di kedai mamak, 07.00-7.50 pagi, 4 Jun 2009, penulis terbaca satu artikel dalam akhbar Sinar Harian yang mengatakan bahawa tulisan jawi tidak sesuai digunakan dan dicetak dalam kad jemputan.

Akbar tersebut memetik pendapat Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam dan Pengguna Islam, iaitu Abd Aziz Ismail yang berkata, “Penggunaan kalimat jawi adalah suci terutamanya yang menyebut nama Tuhan (Allah) dan hal ini sama sekali tidak sesuai dicetak pada permukaan kad undangan (atau kad jemputan)”. Katanya lagi, “kad undangan selalunya akan dibuang setelah habis dibaca dan ia mungkin akan dipijak dan sebagainya. Hal ini menyebabkan kita berdosa.”

Pada pendapat penulis, niat beliau cukup baik, suci dan berusaha untuk menjaga kemurnian Islam, termasuk bahasa dan tulisan Arab (Islam). Tetapi pada pandangan penulis, penggunaan tulisan jawi di permukaan mana-mana kad, sama ada jemputan atau undangan, lawatan dan sebagainya, tulisan jawi perlu dikekalkan dan digalakkan, khususnya yang menyebut nama Allah atau ayat-ayat Allah. Alasan ia akan dibuang dan mungkin dipijak merupakan hal yang boleh dielakkan.

Sebagai umat Islam, kita sepatutnya meletakkan nama Allah atau ayat-ayat Allah (seperti tulisan bismillahi rahmanirahim yang sering kita temui) di tempat yang utama dalam semua aspek kehidupan kita, termasuklah tulisan jawi dalam kad jemputan. Soal tulisan jawi dan rumi bukan masalahnya. Tetapi makna tulisan itu yang lebih penting. Perkataan Allah atau ayat-ayat Allah yang ditulis menggunakan tulisan selain tulisan jawi juga sama sekali tidak boleh dipijak. Dengan perkataan lain, kita juga tetap akan melakukan kesalahan (berdosa) jika memijak perkataan Allah atau ayat-ayat Allah walaupun dalam tulisan rumi, jawi, tulisan Arab, tulisan China, tulisan Jepun, rencong dan jenis-jenis tulisan lain.

Apa yang penulis cadangkan ialah sikap perlu diubah. Kita perlu mendidik masyarakat agar menghargai kad-kad jemputan tersebut, khususnya yang tertera kalimah-kalimah Allah walaupun ditulis selain tulisan jawi atau Arab. Alangkah baiknya jika kita menyimpan kad-kad jemputan yang tertulis nama Allah atau ayat-ayat Allah di permukaan kad-kad jemputan dan menjadikannya sebagai koleksi serta kenang-kenangan pada masa akan datang. Penulis yakin hal ini boleh dilakukan kerana kad jemputan merupakan kad yang kreatif dan indah. Ramai orang yang mengumpul setem sebagai hobi, jadi mengapa mengumpul kad jemputan (yang menukilkan nama Allah atau ayat-ayat Allah) tidak boleh dijadikan hobi dalam kalangan masyarakat kita.

Dari segi nilai, kad jemputan merupakan satu penghargaan kepada yang dijemput. Oleh sebab itu, kita perlu menghargai orang yang menjemput, sekurang-kurangnya dengan menyimpan kad jemputan yang diterima. Tidak timbul soal tulisan jenis apa, jika tulisan itu menyebut nama Allah, kita perlu menyimpannya dengan baik. Jadikanlah mengumpul kad jemputan yang tertulis nama Allah sebagai hobi. Mengumpul kad, insya-Allah, dapat merapatkan hubungan kita dengan Pencipta dan hubungan manusia dengan manusia (pengirim).