Saturday, 15 August 2015

SYUKUR BIASA DAN SYUKUR YANG SEBENARNYA



“Apabila seseorang mendapat rezeki lebih daripada Allah, maka orang tersebut hendaklah mengucapkan syukur alhamdulillah. Ucapan syukur ini bagus, tetapi sekadar mengungkapkan syukur sahaja hanyalah syukur biasa sahaja. Syukur yang sebenarnya ialah apabila seseorang mendapat rezeki lebih daripada Allah, lalu mengucapkan Alhamdulillah dan disertai oleh tindakan menderma”

(Petikan ceramah)




Ungkapan Rabbani merupakan satu unsur penting dalam kesantunan bahasa. Ungkapan rabbani merangkumi ucapan salam, salawat, ungkapan syukur, doa dan sebagainya. Pengamalan ungkapan rabbani yang kerap dalam kehidupan seharian menandakan seseorang itu sentiasa meletakkan Allah di tempat utama di dalam hatinya lalu dipancarkan dalam perlakuan dan tutur bahasanya. Ungkapan rabbani ini juga merupakan lambang kekuatan iman seseorang.

Dalam artikel ini, penulis menyentuh satu jenis ungkapan rabbani, iaitu ungkapan yang menunjukkan kesyukuran, seperti syukur dan alhamdulillah. Dalam bahasa Melayu, syukur bermaksud berterima kasih kepada Allah. Baru-baru ini, penulis mendengar satu ceramah dalam satu radio (Jumaat, kira-kira pukul 5 pagi, 28/01/2011, tidak dapat ingat stesen radio tersebut). Dalam ceramah tersebut, penceramah menekankan konsep menderma dan mengatakan bahawa terdapat dua jenis syukur, iaitu syukur biasa dan syukur yang sebenarnya.

Persoalannya ialah apakah yang dimaksudkan dengan syukur biasa dan syukur yang sebenarnya? Menurut penceramah tersebut, apabila seseorang mendapat rezeki yang lebih daripada Allah, maka orang tersebut hendaklah mengucapkan syukur alhamdulillah. Tambah penceramah itu lagi, ucapan syukur ini bagus, tetapi sekadar mengungkapkan syukur sahaja hanyalah syukur biasa sahaja. Syukur yang sebenarnya ialah apabila seseorang mendapat rezeki lebih daripada Allah, lalu mengucapkan Alhamdulillah dan disertai oleh tindakan menderma.

Dapat disimpulkan bahawa konsep kesyukuran kepada Allah tidak terhad kepada ungkapan sahaja, malah perlu disusuli dengan tindakan atau perilaku yang baik, seperti menderma sekurang-kurangnya 10 % daripada rezeki yang diperoleh itu. Oleh itu, tindakan menderma ini menjadi pelengkap kepada konsep dan pengertian syukur kepada Allah, dan bukannya syukur di mulut sahaja. Syukur di mulut sahaja tidak membuktikan kesyukurannya.

Kesimpulannya ialah penceramah tersebut telah memberikan pengertian yang jelas tentang konsep kesyukuran. Ungkapan rabbani dan perbuatan menderma itu boleh menunjukkan kesyukuran dan keikhlasan seseorang walaupun ikhlas itu hanya Allah sahaja yang mengetahuinya. Oleh itu, dermakanlah sebahagian daripada harta anda (pendapatan), dan janganlah hanya menerima pendapatan yang lumayan dan sekadar mengucapkan syukur, tetapi tidak menderma.


No comments:

Post a Comment