Saturday, 15 August 2015

NILAI ‘KITA’ BAGI SEORANG PEMIMPIN


Ungkapan “kejayaan kita” merupakan penanda linguistik yang menggambarkan nilai dan sikap seorang pemimpin yang menghargai pengorbanan orang lain, khususnya orang yang dipimpinnya. Dalam konteks kepimpinan, ungkapan kejayaan saya merupakan satu pujian pada diri sendiri yang boleh dinilai oleh pendengar sebagai ‘riak’ ataupun ‘bangga diri’ dan tidak tahu menghargai diri orang lain.








Beberapa bulan yang lepas, penulis telah menyertai program induksi untuk kakitangan yang terdiri daripada para pensyarah. Dalam program tersebut, terdapat beberapa sesi ceramah diadakan, dan satu daripada sesi ceramah tersebut telah menyentuh soal kepimpinan. Menurut penceramah tersebut, pemimpin perlulah mengajak orang yang dipimpin untuk bekerja sebagai satu pasukan, kerana kerjasama akan membawa kejayaan. 

Kejayaan yang dicapai hasil daripada kerja sebagai satu pasukan merupakan kejayaan bersama. Dengan itu, penceramah menekankan penggunaan kata ganti nama apabila seorang pemimpin diminta memberikan ucapan untuk merayakan sesuatu kejayaan, iaitu penggunaan kata ganti nama saya dan kita. Katanya, apabila seorang pemimpin yang berjaya diminta untuk memberikan ucapan atau merayakan sesuatu kejayaan, pemimpin tersebut hendaklah menggunakan ungkapan kejayaan kita berbanding ungkapan kejayaan saya memimpin. Ungkapan kejayaan kita merupakan penghargaan atau pujian kepada orang yang dipimpinnya. Penghargaan dan pujian seseorang pemimpin akan menyebabkan orang bawahan berasa dihargai dan akan terus senang bekerja dengan pemimpinnya. Tanpa kerjasama daripada orang bawahan akan menyebabkan sesuatu kegagalan.

Ungkapan kejayaan kita merupakan unsur linguistik yang dapat digunakan untuk menilai sikap seorang pemimpin sebagai seorang pemimpin yang baik dan tahu menghargai pengorbanan orang lain, khususnya orang yang dipimpinnya. Dalam konteks kepimpinan, ungkapan kejayaan saya merupakan satu pujian pada diri sendiri yang boleh dinilai oleh pendengar sebagai ‘riak’ ataupun ‘bangga diri’ dan tidak tahu menghargai diri orang lain. Menurut Noriati Abd. Rasid (2006), pujian dan penghargaan merupakan satu unsur kesantunan bahasa.  Kejayaan seorang pemimpin banyak bergantung kepada penggunaan bahasa yang baik, sopan santun. Dengan bahasa yang baik akan dapat mewujudkan hubungan yang baik dan sekali gus membentuk kerjasama yang mantap.

Kesimpulannya ialah, seorang pemimpin di dalam sesuatu organisasi haruslah peka dengan pemilihan kata ganti nama semasa memberikan ucapan untuk merayakan sesuatu kejayaan.  Kita perlu berpegang pada “tingkap papan kayu bersegi, sampan sakat di pulau angsa, indah tampan kerana budi, tinggi budi kerana bahasa” dan moto “bahasa Jiwa Bangsa.

No comments:

Post a Comment