Profesor tersebut tidak menjawab soalan itu, sebaliknya berkata jangan
gunakan istilah “teori Islam”. Katanya, teori hanya pendapat atau andaian
semata-mata. Sedangkan Islam pula ialah satu agama dan satu hukum Allah yang
tidak ada kecacatan padanya. Katanya
lagi, istilah teori Islam itu amat berbahaya kerana boleh menimbulkan tafsiran
yang pelbagai. Hal ini kerana maksud teori itu adakalahnya kukuh, ada kalanya
lemah, Islam merupakan hukum yang kukuh sepanjang zaman.
Pusat Penyelidikan
dan Pembangunan Fakulti Bahasa Moden dan komunikasi, KUIS telah menganjurkan Seminar Penyelidikan 2010 bertema Pembudayaan Penyelidikan Akademia, 28-29
September 2010. Seminar ini dihadiri
oleh Rektor KUIS, Preofesor Dato Dr. Aziuddin Ahmad dan puluhan pensyarah KUIS.
Seminar tersebut dimulakan oleh ucaptama Rektor yang menekankan kalbu atau hati (kalbu yang bersih) dalam pentadbiran beliau di KUIS.
Semasa sesi soal
jawab, penulis melihat ramai pendengar yang terdiri daripada
pensyarah-pensyarah mengemukakan soalan dan ada yang melontarkan
pandangan. Apa yang penulis ingin sentuh
dalam artikel ini ialah satu istilah, iaitu ‘teori
Islam’ yang digunakan oleh salah seorang pendengar yang bertanya dan
meminta pandangan Rektor KUIS tentang masalah yang dihadapi. Penyoal itu berkata, “saya sedang membuat
Doktor Falsafah dalam bidang teknologi maklumat dan berusaha menggunakan dan
menggabungkan dua teori, iaitu teori Barat dan teori Islam”. Dalam menjalankan kajian itu, beliau sering
menghadapi masalah kerana teori Islam
yang hendak digunakan sentiasa dipersoalkan oleh penyelianya, tetapi penulis
tidak pasti apa yang dipersoalkan oleh penyelia tersebut.
Bagi penulis,
usaha pensyarah yang bertanya itu adalah sangat murni dan mulia kerana ingin
menerapkan Islam dalam kajian teknologi maklumat. Istilah teori Islam yang digunakan itu mengingatkan penulis tentang satu
kuliah bagi kursus “Teori Tatabahasa Bahasa Melayu” yang dikendalikan oleh
seorang pensyarah yang bertaraf profesor semasa penulis menuntut di Universiti
Malaya pada peringkat Ijazah Sarjana. Semasa kuliah tersebut, pensyarah
menerangkan sejarah kajian tatabahasa dan teori-teori yang terdapat dalam
kajian tatabahasa bermula daripada zaman Yunani sehingga sekarang yang agak
rencam. Beliau menerangkan teori-teori dengan terperinci sekali. Pensyarah
tersebut menekankan teori-teori tatabahasa yang kesemuanya menyentuh
teori-teori yang datang dari Eropah dan Amerika di samping menjelaskan
bagaimana teori-teori Barat ini mempengaruhi kajian tatabahasa bahasa Melayu di
Malaysia.
Selepas pensyarah
itu menamatkan kuliahnya, dalam sesi soal jawab, seorang pelajar (rakan
penulis) bertanya, “di manakah teori
Islam dalam kajian bahasa?” Profesor tersebut tidak menjawab soalan itu
tentang di mana teori Islam dalam
kajianbahasa, sebaliknya berkata jangan gunakan istilah “teori Islam”. Katanya, teori hanya pendapat atau andaian
semata-mata. (Dalam Kamus Dewan, teori
bermaksud pendapat dan pandangan yang tidak dapat dibuktikan dengan
kukuhnya untuk menerangkan sesuatu perkara)
Islam pula ialah satu
agama yang sempurna, tidak ada cacat celahnya dan tidak ada keraguan padanya.
Katanya lagi, istilah teori Islam itu
amat berbahaya kerana boleh menimbulkan tafsiran yang pelbagai. Dengan ayat
yang mudah, ada teori yang lemah dan ada yang kuat. “Apabila kita menggabungkan
perkataan teori dan Islam untuk membentuk frasa teori Islam, seolah-olah Islam itu
sebagai satu teori atau Islam itu sebagai andaian semata-mata. Sedangkan Islam
itu sebagai hukum yang sempurna dan kukuh. Tambahnya lagi, Islam itu suatu
hukum yang mutlak, dapat dibuktikan dengan kukuh dan tidak boleh
dipertikaikan”. Istilah teori Islam ini boleh menimbulkan kekeliruan jika tidak
diperhalusi.
Dalam hal ini,
penulis bukanlah cuba “beralih” daripada bidang bahasa kepada pengajian
Islam. Penulis hanya ingin berkongsi
pengalaman bahasa yang sangat sedikit di dalam artikel ini dan cuba melihat
istilah teori Islam dari sudut
terminologi, iaitu kajian proses pembentukan istilah. Istilah teori Islam itu boleh diperhalusi dengan
menukar teori Islam kepada istilah Dari Perspektif Islam. Dalam konteks
kajian yang dilakukan oleh pensyarah tersebut, mungkin lebih baik jika
menggunakan tajuk “Teknologi Maklumat
dari Perspektif Islam, Teknologi dari Sudut Islam atau yang seumpamanya.
Berdasarkan
pemerhatian penulis, setakat ini penulis tidak pernah menemui tajuk buku yang
menggunakan teori Islam. Sebaliknya
penulis banyak menemui frasa ‘dari
Perspektif Islam’, seperti buku Psikologi
Dari Perspektif Islam, Komunikasi dari Sudut Islam dan sebagainya. Penulis
tidak menemui istilah Psikologi: Teori
Islam atau Komunikasi: Teori Islam. Hal inilah yang ditekankan oleh Prof.
Muhammad Naquib Al-Attas bahawa bahasa bukan sekadar bahasa atau makna, tetapi
bahasa itu amat berkait rapat dengan pandangan hidup. Sebab itu, beliau
menekankan adab berbahasa, iaitu bahasa perlu tepat dari segi makna, bunyi, dan
konteks penggunaannya. Kemungkinan besar pensyarah yang menyoal dalam seminar
itu sentiasa dierpsoalkan kerana istilah yang digunakan itu tidak tepat.
Menurut ahli
bahasa pula, ayat yang berkesan ialah ayat yang mampu menyampaikan makna atau
kefahaman yang tepat atau sama antara penulis dan pembaca. Dengan kata lain,
apa yang hendak disampaikan oleh penulis adalah sama dengan apa yang difahami
pembaca tanpa ada tafsiran yang lain.
Bagi penulis, begitu juga dengan istilah, hendaklah jelas tanpa
menimbulkan pelbagai tafsiran, kekaburan atau ketaksaan.
Artikel ini hanya
sekadar lontaran pendapat berdasarkan pengalaman untuk dikongsi bersama.
Penulis tidak sempat melontarkan pandangan ini semasa berada di dalam seminar
tersebut kerana pensyarah yang bertanya dalam seminar itu merupakan orang
terakhir dan waktu seminar yang ditetapkan pun telah melebih masa yang
ditetapkan. Harap dia menemui artikel
ini.
No comments:
Post a Comment