Saturday, 15 August 2015

FIKIR DAN ZIKIR: APLIKASI TERHADAP KAJIAN BAHASA

“Tradisi pemikiran fikir dan zikir
dalam konteks ahli bahasa tempatan telah pun diamalkan.  Dengan pengertian lain, dalam ilmu linguistik, ahli-ahli bahasa di Malaysia telah menggunakan kaedah fikir dan zikir, iaitu melihat bahasa dari sudut Islam. Kebanyakan kajian bahasa yang berdasarkan zikir dan fikir ini memperlihatkan tanda kebesaran Allah SWT”




Buku Fikir dan Zikir, hasil tulisan Sidek Baba, seorang profesor pendidikan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, merupakan buku yang sangat baik kerana memperlihatkan pola pemikiran berlandaskan Islam. Buku ini diterbitkan pada 2010.  Inti buku tersebut adalah seperti berikut:

Dalam tradisi Islam, kemahiran berfikir sentiasa dikaitkan dengan faktor zikir. Zikir harus diperhatikan dalam erti kata yang luas. Zikir bukan hanya sekadar menyebut nama Allah atau kebesaranNya, tetapi zikir dalam konteks berfikir mengajar manusia memahami faktor kewujudan Allah SWT dengan tanda-tanda kebeseanNya (Sidek Baba, dlm Zikir dan Fikir, 2010:11).

Menurut buku tersebut, kita hendaklah berfikir mengikut nilai Islam, iaitu Al-Quran dan Sunnah. Berfikir tanpa nilai ini, kita akan menjadi sesat dan tidak akan ke mana, malah makna berfikir tidak ada nilainya. Dalam penulisan ini, penulis akan memperlihatkan pola pemikiran bahasa yang berasaskan Islam.

Awang Sariyan yang menggunakan pola pemikiran fikir dan zikir ini mendapati bahasa sebagai satu anugerah Allah, dan anugerah ini membezakan manusia dengan makhluk lain. Menurutnya lagi, manusia dianugerahkan keupayaan berbahasa yang dikenali sebagai kenuranian bahasa. Menurut beliau, bahasa merupakan anugerah Allah sejak di Syurga lagi, iaitu sejak penciptaan Nabi Adam lagi. (Lihat “Perihal Pengislaman bahasa” dalam bukunya Ceritera Bahasa). Pola pemikiran terhadap kepelbagaian bangsa dan bahasa juga dilihat oleh Awang Sariyan dan Sanat sebagai tanda kebesaran Allah. Hal ini menolak pemikiran Yahudi yang menganggap hanya bahasa mereka yang paling tinggi statusnya.

Pola pemikiran fikir dan zikir ini juga digunakan oleh Awang Sariyan dalam menghuraikan kepentingan bahasa baku. Menurutnya, keseragaman bahasa atau bahasa baku amat bertepatan dengan konsep Islam. Pemikiran ini berasaskan sejarah penyeragaman (pembakuan) bahasa dalam al-Qquran.  Menurut beliau, sejarah Islam telah memperlihatkan kepentingan bahasa baku dalam konteks penyebaran ilmu. Misalnya, di Tanah Arab mempunyai khafilah atau suku kaum yang pelbagi. Sebelum zaman Othman, khalifah Al-Rasyidin, sebutan Al-Quran mengikut dialek dalam suku kaum Arab. Setiap suku kaum membaca Al-Quran mengikut dialek masing-masing. Ini menimbulkan sedikit pertelingkahan antara khafilah. Satu khafilah mengatakan sebutan atau bacaan Al-Quran oleh khafilah lain adalah salah. Manakala orang yang dituduh pula mempertahankan bahawa sebutan al-Quranya adalah sebutan yang sebenar. Oleh itu, penyeragaman bahasa al-Quran adalah penting untuk mengelakkan pertelingkahan tersebut. Hal dapat menyatupadukan penduduk Arab ketika itu. Dalam konteks bahasa Melayu juga sama, pembakuan bahasa Melayu perlu dilakukan bukan hanya mengelakkan pertelingkahan, malah memudahkan komunikasi sekali gus mempermudah penyebaran ilmu di Kepulauan Melayu.

Dalam konteks kesantunan bahasa, konsep fikir dan zikir juga diaplikasikan untuk memperlihatkan perbezaan pola pemikiran Barat dengan Islam.  Bagi masyarakat Barat, konsep kesantunan mereka hanya sekadar menjaga hubungan manusia dengan manusia tanpa mengaitkannya dengan tuntutan ibadah.  Barat hanya melihat fungsi bahasa sebagai satu alat komunikasi untuk menjaga air muka pihak yang berkomunikasi sahaja.

Hal ini berbeza dengan huraian bahasa berdasarkan pemikirana Islam. Hasil daripada konsep fikir dan zikir ini, kesantunan bahasa dilihat sebagai satu ibadah, dan menjadikan bahasa sebagai alat untuk menyeru kabaikan dan mencegah kemungkaran. Malah, dalam kesantunan bahasa dapat menggambarkan tahap akhlak dan keimanan seseorang.  Pola pemikiran ini menghuraikan bahasa dengan mengambil kira dosa dan pahala.  Selain itu, amalan kesantunan bahasa dijadikan sebagai pengukur keimanan seseorang dan tahap pegangan agama seseorang.

Jika disingkap lebih jauh lagi, Hashim Musa telah turut menganggap Raja Ali Haji sebagai ahli bahasa yang menyedari fungsi bahasa sebagai ibadah untuk menuntut ilmu. Dalam konteks ilmu juga, pola pemikiran fikir dan zikir ini telah memperlihatkan bahawa penyampaian ilmu hendaklah disampaikan dalam bahasa kaum pelajar tersebut. Hal ini disokong oleh surah Ibrahim ayat ke-4. Secara ringkasnya, pola pemikiran fikir dan zikir yang disampaikan oleh Sidek Baba telah digunakan dalam menghuraikan segala persoalan bahasa.

Tradisi pemikiran fikir dan zikir dalam konteks ahli bahasa tempatan telah pun diamalkan. Dengan pengertian lain, dalam ilmu linguistik, ahli-ahli bahasa di Malaysia telah menggunakan kaedah pemikiran fikir dan zikir, iaitu melihat bahasa dari sudut Islam. Bermula daripada proses penciptaan bahasa, pemerolehan bahasa, fungsi bahasa, penggunaan bahasa, bahasa baku dan sebagainya telah pun dikaji dan diselidiki melalui pendekatan fikir dan zikir.

Awang Sariyan berpendapat bahawa linguistik Islam berkait rapat dengan gagasan pengislaman ilmu. Maksudnya ialah segala ilmu, termasuk ilmu linguistik hendaklah berasaskan tasawur atau sudut pandangan hidup Islam. Dalam konteks penciptaan bahasa atau hakikat bahasa, Sanat Md Nasir sealiran dengan Awang Sariyan kerana telah menggunakan kerangka pemikiran Islam dalam menghuraikan proses kejadian bahasa dengan berpandukan Al-Quran. Dengan pola pemikiran fikir dan zikir ini, perosalan bahasa dapat diselesaikan dengan berkesan.


Pola pemikiran fikir dan zikir ini telah mematahkan pola pemikiran Barat yang mengatakan bahasa tercipta secara semula jadi, atau peniruan alam dan akibat tekanan emosi. Selain itu, ia juga telah membatalkan undang-undang Societe Linguistique de Paris yang melarang atau tidak membenarkan sesiapapun membentangkan kertas kerja tentang asal-usul bahasa atau penciptaan bahasa. Berdasarkan sumber Naqli, penciptaan bahasa amat jelas sekali terdapat dalam surah Al- Baqarah:31 dan surah Al-Rahman:1-4. Dalam konteks pemerolehan bahasa kanak-kanak dan keupayaan bahasa manusia, ahli bahasa tempatan menolak pola pemikiran Barat yang hanya melihat bahasa pada peringkat otak atau hanya sebagai proses kognitif.

No comments:

Post a Comment