Saturday, 15 August 2015

ENCIK, SIAPA YANG MENCIPTA BAHASA MELAYU?

“Awang Sariyan mengemukakan

istilah “Linguistik Islam” yang dilihat selari dengan gagasan pengislaman ilmu. Apa yang ingin disampaikan oleh Awang Sariyan ialah segala ilmu, termasuk ilmu linguistik hendaklah berasaskan tasawur atau sudut pandangan hidup Islam. Oleh itu, Untuk melihat hakikat atau penciptaan bahasa perlulah didasarkan kepada Islam, iaitu Al-Quran dan Hadis”.



Artikel ini berkaitan persoalan yang dibangkitkan oleh seorang pelajar semasa sesi pengajaran dan pembelajaran berlangsung, dalam satu kelas kuliah yang pertama bagi sesi baharu dibuka, di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selagor. Penulis selaku tenaga pengajar bagi subjek Bahasa Kebangsaan A (Kursus wajib Universiti), akan terlebih dahulu menghuraikan sejarah bahasa Melayu berdasarkan huraian buku Tatabahasa Dewan edisi baharu dan lama. Buku ini mengemukakan beberapa teori asal-usul masyarakat dan bahasa yang bertapak di Asia Tenggara. Buku edisi lama menyatakan bahawa bangsa dan bahasa Melayu berasal dari Tanah Besar China.

Tatabahasa Dewan keluaran terkini pula memuatkan satu lagi teori baharu yang menyatakan bahawa tempat asal orang Melayu ialah Pulau Borneo, dan mereka (bahasa) merebak dari situ dalam tiga kelompok besar melalui tiga arah, iaitu (1) ke Sumatera; (2) ke timur laut menuju ke Filipina dan Taiwan, ke Sulawesi dan Kalimantan Timur, (3) dan Barat Daya, iaitu Sumatera Selatan dan Jawa Barat. Hal ini yang dihuraikan oleh Tatabahasa Dewan, iaitu sebuah buku pegangan utama tatabahasa bahasa Melayu di Malaysia. Penulis buku tersebut tidak menghuraikan penciptaan bahasa, termasuklah penciptaan bahasa Melayu.

Semasa sedang asyik menghuraikan sejarah awal dan perkembangan bahasa Melayu, iaitu sejarah yang menyentuh bahawa asal-usul bangsa yang ada di Asia Tenggara datang dari Tanah Besar China dengan mengemukakan bukti-bukti arkeologi dan kata-kata kognat, tiba-tiba seorang pelajar mencelah dan bertanya, “Encik, siapa yang mencipta bahasa Melayu?” Cikgu asyik menceritakan sejarah je dari tadi, jadi saya nak tahu juga siapa yang mencipta bahasa Melayu dan bagaimana bahasa itu tercipta.

Persoalan yang ditimbulkan oleh pelajar itu ‘memaksa’ penulis untuk mengungkapkan semula segala pemahaman penulis hasil pembacaan tentang hakikat bahasa yang banyak dihuraikan oleh Awang Sariyan, ilmu falsafah bahasa yang dikemukan oleh Hashim Musa, Sanat Md Nasir, dan sarjana-sarjana linguistik yang lain yang berusaha mengaitkan pengajian bahasa dengan Islam.

Jawapan penulis agak ringkas, iaitu “soal penciptaan bahasa, termasuk bahasa Melayu hanya boleh dijawab oleh Al-Quran. Dengan bahasa yang mudah, “Islam ada jawapannya. Penulis-penulis Tatabahasa Dewan yang diketuai oleh Nik Safiah Karim tidak menyentuh hakikat (penciptaan) bahasa. Persoalan penciptaan bahasa, termasuk penciptaan bahasa Melayu memerlukan huraian yang bersifat falsafah dan sudah pasti tidak sesuai dimuatkan dalam penulisan buku panduan tatabahasa bahasa Melayu. Malah persoalan penciptaan bahasa adalah persoalan universal, bukan hanya persoalan bahasa Melayu sahaja.  Pada pendapat penulis, penulis-penulis tatabahasa Dewan tidak terikat dengan larangan Societe Linguistique de Paris. Tatabahasa Dewan ditulis hanya untuk panduan tatabahasa, bukan untuk membincangkan persoalan asal-usul bahasa yang ada dalam bidang  falsafah bahasa.

Societe Linguistique de Paris merupakan satu badan yang telah membuat undang-undang untuk melarang sesiapapun mengemukakan teori tentang asal-usul (penciptaan) bahasa. Tatabahasa Dewan hanya menghuraikan sejarah bahasa Melayu berdasarkan kajian-kajian ilmiah secara empirikal. Penulis-penulis Tatabahasa Dewan tidak menyentuh persoalan agama dalam membincangkan hukum tatabahasa. 

Masyarakat Barat telah mengemukakan beberapa teori penciptaan bahasa tanpa mengambil kira soal agama; ada yang menyatakan bahasa bermula daripada komunikasi bising kepada bahasa penuh; peniruan bunyi alam; akibat tekanan emosi yang memaksa seseorang bercakap, dan sebagainya. Teori-teori yang dikemukakan oleh Barat itu tidak dapat memberikan penjelasan yang memuaskan kepada kita tentang hakikat bahasa. Sebab itu, ramai pengkaji bahasa Barat ragu-ragu untuk menghuraikan atau mendekati persoalan penciptaan bahasa kerana mereka kekurangan bukti.

Awang Sariyan mengemukakan istilah Linguistik Islam dalam kertas kerjanya (berajuk ‘Membina Tasawur Islam Melalui Pendidikan Bahasa’) dan berpendapat bahawa linguistik Islam berkait rapat dengan gagasan pengislaman ilmu. Apa yang ingin disampaikan oleh Awang Sariyan ialah segala ilmu, termasuk ilmu linguistik hendaklah berasaskan tasawur atau sudut pandangan hidup Islam. Berpegang kepada istilah linguistik Islam, untuk melihat hakikat atau penciptaan bahasa perlulah didasarkan kepada Islam, iaitu Al-Quran dan Hadis. Sanat Md. Nasir pula berpendapat bahawa untuk mencari asal-usul (penciptaan) bahasa, termasuklah bahasa Melayu hendaklah bersumberkan naqli dan aqli. Awang Sariyan dan Sanat Md. Nasir memetik ayat-ayat Allah berikut dalam kertas kerja mereka masing-masing untuk menunjukkan penciptaan bahasa:

“Dan Tuhan mengajarkan kepada Adam nama (hakikat) segala kejadian. ..”
(Surah al- Baqarah, ayat:31)

“Tuhan yang Maha pemurah yang mengajarkan Qur’an. Dia menciptakan manusia, mengajarnya pandai berbahasa.”
(Surah al- Rahman, ayat:1-4)

Pada pendapat penulis, ayat-ayat Allah SWT di atas merupakan jawapan terhadap persoalan penciptaan bahasa, termasuklah penciptaan bahasa Melayu. Petikan al-Quran tersebut menunjukkan pemberian keupayaan berbahasa kepada Adam dan keturunannya. Allah menciptakan manusia sekali dengan bahasanya untuk berkomunikasi. Nabi Adam sebagai manusia pertama diajarkan nama yang boleh dilihat sebagai asas kosa kata sesuatu bahasa dan menjadi isyarat bahasa (Sanat Md. Nasir).

Awang Sariyan, dengan merujuk surah AL-Baqarah, ayat 31 di atas, berpendapat bahawa penganugerahan ilmu tentang nama segala sesuatu kejadian di alam semesta kepada nabi Adam oleh Allah bukanlah sekadar pengenalan tentang nama sesuatu, bahkan turut meliputi sifat-sifat, kegunaan, dan maklumat-maklumat yang lain. Hal ini juga memberikan pengertian bahawa Adam dan keturunannya diberikan ilmu bahasa. Malah al-Quran juga memperlihatkan bahawa bahasa atau komunikasi telah berlaku pada zaman nabi Adam diciptakan. Hal ini dapat dilihat semasa Allah memerintah jin dan malaikat untuk sujud sebagai penghormatan kepada Adam a.s. Perintah Allah kepada Jin dan Malaikat untuk sujud kepada Adam sudah tentu menggunakan bahasa sebagai alat komunikasi. Ada sarjana Islam mengatakan bahawa bahasa yang digunakan ketika Allah memerintahkan Jin dan malaikat itu ialah bahasa Arab.

Sebelum kelahiran manusia lagi, iaitu di alam roh, seseorang sebelum dilahirkan lagi sudah berkomunikasi dengan Allah. Antara dialog yang berlaku di dalam surah al-A’raf:172, “Bukankah aku ini Tuhanmu?” Mereka menjawab “Benar engkau Tuhan kami, kami menjadi saksi. Ada yang mendakwa bahasa Arab digunakan dalam dialog tersebut. Bahasa Arab ialah bahasa yang istimewa kedudukannya dalam Islam. Tetapi tidak bermakna bahawa peranan unggul bahasa-bahasa lain tidak istimewa, atau tidak ‘diiktiraf’ oleh Islam. Malah kepelbagaian bangsa dan bahasa merupakan tanda kebesaran Allah S.W.T. Hal ini dapat dilihat dalam ayat-ayat Allah yang berikut:

“Dan Kami tidak mengutus seorang rasul melainkan dengan bahasa kaumnya supaya ia dapat memberikan penjelasan dengan terang kepada mereka...”
(Surah Ibrahim, ayat 4)

“Dan antara tanda kebesaran kekuasaannya termasuklah menciptakan langit dan bumi dan berlainan-berlainan bahasamu dan warna kulitmu. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang yang tahu.
(Surah al-Rum, ayat 22).

Surah al-Rum di atas menunjukkan bahawa bahasa Melayu yang merupakan salah satu bahasa daripada ribuan bahasa di dunia ini ialah tanda kebesaran Allah. Bagi Awang Sariyan, surah Ibrahim di atas dengan sendirinya menolak dakwaan orang Yahudi yang mengatakan bahawa bahasa mereka sebagai bahasa tertinggi dan bahasa syurga berbanding dengan bahasa-bahasa lain.

Surah Ibrahim tersebut menunjukkan bahawa setiap rasul diutus dengan bahasa kaumnya agar wahyu dapat disampaikan dengan mudah. Surah ini turut memberikan makna bahawa peranan bahasa selain bahasa Arab turut mendapat pengiktirafan yang istimewa, termasuklah peranan bahasa Melayu. Dalam sejarah Melayu, peranan bahasa Melayu sangat penting dalam penyebaran ilmu Islam. Menurut Syed Hussein Al-Attas, Islam tersebar dengan mudah kerana penyebaran itu menggunakan bahasa Melayu yang mudah difahami. Seandainya rasul diturunkan di Tanah Melayu, sudah tentu Allah menurunkan wahyuNya dalam bahasa Melayu agar orang Melayu menerima wahyu itu dengan mudah. 

Allah menciptakan manusia yang dilengkapi dengan keupayaan berbahasa. Oleh itu, kesimpulannya ialah proses penciptaan bahasa perlu merujuk kepada sumber naqli (Islam) dan aqli (akal), termasuklah proses penciptaan bahasa Melayu. Bahasa Melayu merupakan salah satu daripada ribuan bahasa di dunia ini sebagai tanda kebesaran Allah.

No comments:

Post a Comment