Saturday, 15 August 2015

FALSAFAH DAN DASAR BAHASA: SATU HURAIAN RINGKAS






“Mengembalikan makna bahasa  merupakan tugas utama disiplin ilmu falsafah Islam dan ia perlu dilakukan oleh KUIS agar dapat mengelakkan masyarakat Islam daripada kekufuran dalam melihat, menanggapi dan memahami bahasa. Flatform yang sesuai untuk memperjelas falsafah bahasa Islam adalah melalui penggubalan dasar bahasa di KUIS, dan menekankan penawaran pengajian bahasa berdasarkan Islam”



Pengenalan   
     
Satu persoalan yang sangat penting telah dikemukakan oleh Profesor Aziduddin Ahmad dalam dua siri seminar Primer on Language and Communication: Islamic View of Man & The Shift in Worldview. Beliau yang merupakan Rektor Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) sejak April 2010 telah membawa perubahan besar melalui program Transformasi of KUIS.  Satu persoalan utama yang perlu dijawab dan diperjelas dalam seminar tersebut ialah “apakah yang dimaksudkan dengan bahasa dan komunikasi dalam erti kata sebenar?” Persoalan itu sebagai usaha untuk mengembalikan makna universiti dari sudut Islam dengan menekankan konsep ta’dib. Istilah ta’dib ini diperkenalkan oleh Syed Muhammad Naquib Al-Attas pada 1977 melalui gagasan universiti Islam.

Persoalan Bersifat Falsafah
Secara umumnya, persoalan apakah bahasa dan komunikasi dalam erti kata sebenar yang dikemukakan oleh Rektor KUIS ialah persoalan yang bersifat falsafah. Persoalan tersebut tidak menanyakan makna bahasa berdasarkan definisi yang diberikan oleh kebanyakan kamus. Sebaliknya ia perlu dihurai dan diperjelas berdasarkan kaedah dan disiplin ilmu falsafah. Apabila bahasa dikaji dan dilihat dari sudut falsafah, maka muncul istilah falsafah bahasa.

Menurut Hashim Musa (2006:1) dalam bukunya Pengantar Falsafah Bahasa, falsafah bahasa melibatkan dua kajian, iaitu bidang kajian falsafah dan bidang kajian linguistik. Beliau mentakrifkan falsafah sebagai satu penyelidikan atau kegiatan secara renungan (reflective) dan pentaakulan (reasoning) untuk merumuskan sifat dan kandungan alam semesta dilihat secara keseluruhan sebagai satu kesatuan berdasarkan penelitian dan pengkajian terhadap data yang diambil daripada semua aspeknya. Objektif utama ilmu falsafah ialah menemukan hakikat kebenaran tentang objek yang dikaji.

Menurut Awang Sariyan (2007:3) pula, inti sari yang terpenting dalam cakupan bidang falsafah ialah usaha mencari hakikat dan kebenaran sesuatu, sesuai dengan etimologi kata falsafah yang berpaksi pada makna cinta akan hikmah dan kebijaksanaan. Oleh itu, falsafah bahasa pada asasnya masih tetap dalam lingkungan arah dan landasan kerja yang sama, iaitu mencari hakikat dan kebenaran tentang segala yang berkaitan dengan bahasa-bahasa sebagai subsistem dalam kerangka sistem yang lebih besar, iaitu alam semesta, dan bahasa sebagai bahagian diri manusia yang turut menjadi objek dalam kajian falsafah. Bagi Searle (1990) pula, falsafah bahasa ialah usaha menganalisis ciri-ciri umum bahasa, seperti makna, rujukan, kebenaran, penyahihan, lakuan pertuturan dan keperluan logis.

Pada pendapat penulis, persoalan yang ditimbulkan oleh Rektor KUIS dalam seminar tersebut bersifat falsafah, iaitu untuk mencari makna sebenar tentang bahasa atau hakikat bahasa yang sebenar dari sudut Islam; kemudian menerap dan mengaplikasikan makna bahasa tersebut ke dalam agenda transformasi KUIS. Beliau menyedari bahawa falsafah bahasa (termasuk falsafah komunikasi) merupakan satu elemen yang sangat penting dalam pendidikan, khususnya dalam memenuhi agenda transformasi dan hala tuju KUIS. Kepentingan falsafah bahasa dalam fikiran beliau dapat dilihat melalui ulasan ringkas oleh Hafida Mohammad Nordin dan Azizah Jamaluddin dalam Buletin al-Hijrah. Bagi Rektor KUIS itu, makna bahasa perlu diperjelas bagi memastikan bahasa insan terus terpelihara daripada anasir-anasir luar yang boleh merosakkan identiti insan sebagai abid dan sebagai khalifah di muka bumi ini. Hal ini bermaksud pencemaran terhadap “makna” bahasa akibat imperialisme bahasa atau sekularisasi bahasa itu boleh merosakkan identiti insan sebagai hamba Allah.

Hal ini memperlihatkan bahawa Rektor KUIS yang berlatarbelakangkan pendidikan sains nuklear turut merasai apa yang dirasai oleh ahli-ahli bahasa bahawa imperialisme bahasa dan proses sekularisasi dalam ilmu bahasa telah berlaku dalam kalangan masyarakat Islam. Oleh itu, sebagai institusi pengajian tinggi Islam, KUIS atau lebih khusus lagi, Rektor KUIS bertanggungjawab memperjelas dan mengembalikan makna bahasa dan komunikasi dari sudut Islam. Mengembalikan makna bahasa merupakan tugas utama disiplin ilmu falsafah Islam dan ia perlu dilakukan oleh KUIS agar dapat mengelakkan masyarakat Islam daripada kekufuran dalam melihat, menanggapi dan memahami bahasa. Flatform yang sesuai untuk memperjelas falsafah bahasa Islam adalah melalui penggubalan dasar bahasa di KUIS, dan menekankan penawaran pengajian bahasa berdasarkan Islam. 


Falsafah Bahasa Dari Sudut Islam
Dalam mengembalikan makna bahasa (dan komunikasi) yang sebenar, terdapat tiga isu penting yang perlu dijawab dalam falsafah bahasa, iaitu asal-usul kejadian bahasa, sifat atau zat-zatnya, dan fungsi bahasa. Ahli sejarah bersepakat bahawa orang Yunanilah yang menjadi tunjang tradisi ilmu bagi tamadun Barat dan tradisi ilmu Barat tersebut telah mempengaruhi ilmu dalam tamadun dunia lain, termasuk ilmu dan hakikat bahasa dalam kalangan masyarakat Islam. Dengan ayat lain, kira-kira 2600 tahun yang lalu, ahli falsafah Yunani telah membincangkan bahasa dari sudut falsafah. Menurut Bloomfield (dlm Awang Sariyan, 2007:13) “Orang Yunani kuno mempunyai kelebihan, iaitu memperhatikan perkara yang dipandang ringan oleh orang lain. Mereka membuat spekulasi dengan berani dan tekun tentang asal-usul, sejarah dan struktur bahasa. Pengetahuan tradisi kita tentang sejarah banyak disebabkan oleh mereka.”

Dalam sejarah pemikiran bahasa, ahli falsafah pertama yang mengenal pasti dan menyelidik bahasa sebagai satu persoalan falsafah ialah Plato (427-347SM), melalui karyanya Cratylus (Borgmann, 1974:19 dan Hashim Musa 1994:84). Persoalan utama yang dibincangkan pada zaman itu ialah asal-usul bahasa, dengan merujuk dua aspek, iaitu permulaannya (asal-usul) dan sifat atau zatnya. Bagi penulis, seperti kebanyakan jawapan terhadap persoalan hakikat, zat, asal-usul dan fungsi bahasa yang dikemukakan oleh orang Yunani masih tidak pernah memberikan jawapan yang meyakinkan. Hal ini kerana pemikiran masyarakat Yunani berasaskan ilmu akal dan empirikal semata-mata tanpa penjelasan dari sudut agama. Oleh itu, penulisan ini akan mengemukakan jawapan tentang falsafah bahasa, dengan berasaskan aqli dan naqli.

Dalam tradisi ilmu Barat, kajian semantik (makna) menjadi tumpuan utama untuk menjawab persoalan asal-usul penciptaan bahasa. Asal-usul kejadian bahasa (perkataan) dijawab dengan melihat bagaimana perkataan memperoleh maknanya. Jika mereka dapat menjawab persoalan ini, maka mereka menganggap telah menjawab persoalan asal-usul kejadian bahasa. Sebahagian mereka berpendapat bahawa asal-usul bahasa bermula daripada peniruan alam dan akibat daripada tekanan perasaan sehingga menghasilkan jeritan. Jeritan ini dianggap sebagai bahasa. Jawapan yang diberikan oleh tradisi ilmu Barat itu amat lemah dan tidak berpenghujung. Oleh sebab itu, Socite Linguistic The Paris telah membuat peraturan yang tidak membenarkan sesiapapun untuk membentangkan kertas kerja tentang asal-usul bahasa (Sanat Md Nasir, 1998:115).

Dalam Islam, al-Quran dan Sunnah merupakan rujukan sumber ilmu yang paling autentik yang mesti dijadikan pegangan dan sandaran hujah. Al-Quran memberikan jawapan yang amat meyakinkan tentang kejadian dan penciptaan bahasa dengan merujuk surah al-Baqarah dan surah ar-Rahman. Berikut adalah surah al-Quran yang menjadi bukti kukuh tentang penciptaan manusia yang dilengkapi dengan keupayaan berbahasa.

Tuhan yang maha pemurah yang mengajarkan al-Quran. Dia menciptakan manusia, mengajarnya pandai berbahasa.
(Surah al-Rahman, ayat 1-4)

Dan Dia mengajarkan kepada Adam nama-nama (benda-benda) seluruhnya, kemudian mengemukakannya kepada para malaikat, lalu berfirman: “Sebutkanlah kepadaKu nama benda-benda itu jika kamu memang orangg yang benar!”
(al-Baqarah, ayat 31)

Dua ayat di atas dengan jelas memperlihatkan bahawa Allah SWT mencipta manusia dengan dikurniakan fakulti bahasa (Awang Sariyan, 2007:68). Dengan pengertian, Allah SWT mencipta manusia dilengkapi dengan alat yang membolehkan manusia memperoleh, mempelajari dan menguasai bahasa. Namun demikian, Allah SWT mencipta manusia bukan dengan bahasa tertentu, sebaliknya manusia dicipta dengan alat pemerolehan bahasa sahaja (APB) atau langugage aquisition device (LAD) yang diperkenalkan oleh Naom Chomsky.

Pemerolehan dan penguasaan bahasa ditentukan oleh persekitaran, sosialisasi dan pendidikan. Manusia akan bertutur dalam bahasa Melayu jika lahir dan membesar dalam keluarga Melayu, manusia akan menguasai bahasa Arab apabila lahir dan membesar dalam kalangan keluarga Arab. Selain itu, dengan adanya alat pemerolehan bahasa yang dianugerahkan oleh Allah, orang Arab berupaya mempelajari bahasa Melayu atau bahasa-bahasa lain. Dengan pengertian bahawa bangsa Melayu boleh mempelajari dan menguasai bahasa selain bahasa Melayu. Manusia boleh mempelajari dan menguasai bahasa kedua, ketiga, keempat dengan adanya alat pemerolehan bahasa, sama ada melalui proses sosialisasi atau pendidikan.

Alat pemerolehan bahasa ini tidak dianugerahkan kepada makhluk hidup yang lain. Walaupun kucing mempunyai alat ujaran seperti lidah, bibir dan sebagainya, namun haiwan ini tetap tidak berupaya untuk berbahasa kerana tidak dikurniakan dengan alat keupayaan berbahasa. Kucing tidak akan dapat bertutur dalam bahasa Melayu walaupun dilahirkan dan dibesarkan dalam keluarga Melayu. Hakikat bahasa sebagai anugerah Allah SWT kepada manusia inilah yang menjadi asas falsafah bahasa menurut Islam. Anugerah bahasa kepada manusia inilah yang menjadi ciri pembeza antara insan dengan haiwan. Jika tidak ada bahasa, maka kita sebagai insan tidak ada bezanya dengan haiwan.

Selain bahasa sebagai anugerah Allah, sifat kepelbagaian bahasa turut menjadi persoalan utama dalam disiplin falsafah bahasa. Hal ini menjadi hakikat bahasa dan telah dinukilkan dalam kitab suci al-Quran, melalui surah al-Hujarat, ayat ke-13.

Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling mengenali. Sesungguhnya yang paling mulia antara kamu di sisi Allah SWT ialah yang paling bertakwa.
(al-Hujarat, ayat ke-13)

Dan antara tanda-tanda (kebesaran)Nya ialah penciptaan langit dan bumi, perbezaan bahasamu dan warna kulitmu. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang yang mengetahui.
(ar Rum, ayat:22)

Kami tidak mengutuskan seorang rasul pun melainkan dengan bahasa kaumnya, supaya dia dapat memberikan penjelasan dengan terang kepada meraka.
(Surah Ibrahim, ayat:-4)

Surah al-Hujarat ayat ke-13 di atas memperlihatkan bahawa Allah SWT telah mencipta manusia pelbagai suku bangsa, dengan pengertian wujud pelbagai bahasa. Hal ini diperjelas lagi melalui Surah ar-Rum bahawa kepelbagaian bahasa sebagai tanda kebesaran Allah. Surah Ibrahim ayat ke-4 di atas juga memberikan gambaran secara tersirat bahawa wujud kepelbagaian bahasa. Ketiga-tiga ayat di atas telah menunjukkan sifat kepelbagaian bahasa sebagai satu tanda kebesaran Allah SWT.


Fungsi bahasa dalam konteks pendidikan ini telah menjadi pusat perbincangan dalam struktur pemikiran rektor KUIS, dengan melihat peranan bahasa dan komunikasi semasa proses penurunan wahyu daripada Allah SWT melalui Jibril kepada Nabi Muhammad SWA. Dalam gagasan beliau, proses nuzul al-Quran hendaklah dijadikan asas untuk mengembalikan makna bahasa dan komunikasi dalam erti kata sebenar kerana proses itu melibatkan peranan roh dan nilai. Peristiwa nuzul al-Quran ini juga perlu dihurai sebagai asas dalam menggubal dasar bahas di KUIS.  Isu fungsi dan tujuan pendidikan bahasa menurut Islam akan dihuraikan dalam siri artikel akan datang. 

No comments:

Post a Comment