Pendidikan seks yang hendak dilaksanakan oleh kerajaan
itu mendapat reaksi yang negatif dan agak sukar untuk diterima oleh sebahagian
besar masyarakat Malaysia. Reaksi yang negatif dan kesukaran untuk diterima ini
bukan disebabkan oleh silibus kursus tersebut, sebaliknya ia disebabkan oleh
istilah pendidikan seks yang kurang tepat. Istilah yang salah ini menimbulkan persepsi buruk terhadap subjek tersebut.
Artikel kali ini
menyentuh istilah yang menjadi isu pendidikan, iaitu istilah Pendidikan Seks (PS). Penulis ingin
menghuraikan istilah PS dari sudut disiplin ilmu bahasa; dan bukannya menyentuh
soal sama ada pendidikan ini sesuai atau tidak dilaksanakan di negara ini.
Sesuai atau tidak pendidikan tersebut dilaksanakan itu berada di luar bidang
kepakaran penulis. Penulis hanya ingin membincangkan soal istilah PS dan reaksi
masyarakat yang menentang pelaksanaan pendidikan tersebut.
Berdasarkan
pemerhatian penulis, PS yang hendak diperkenalkan dan yang hendak dilaksanakan
oleh kerajaan dalam sistem pendidikan Negara mendapat reaksi yang negatif dan
agak sukar untuk diterima oleh sebahagian besar masyarakat Malaysia. Pada
pendapat penulis, reaksi yang negatif dan kesukaran untuk diterima ini bukan
disebabkan oleh silibus kursus tersebut, sebaliknya ia disebabkan oleh istilah pendidikan
seks yang kurang tepat. Selain itu, istilah yang salah ini menimbulkan persepsi buruk terhadap subjek tersebut.
Kerajaan
memperkenalkan PS untuk diajar di sekolah rendah. Kerajaan sentiasa memberikan
kefahaman kepada masyarakat bahawa PS bukanlah pendidikan yang mengajar
anak-anak untuk melakukan seks, sebaliknya PS adalah untuk mendidik
pelajar-pelajar tentang jantina antara lelaki dan perempuan, tentang cara
mengelak daripada menjadi mangsa rogol, sumbang mahram, hak ketika dirogol,
mendidik cara pergaulan yang baik, memberi tahu kesan buruk seks bebas dan
sebagainya.
Namun demikian,
subjek ini mendapat tentangan ramai, khususnya ibu bapa kerana mereka
memberikan tafsiran yang berlainan dengan pengisian pendidikan yang dimaksudkan
oleh kerajaan. Dalam fikiran ibu bapa kita, PS ialah subjek yang akan mengajar
cara-cara melakukan hubungan kelamin antara lelaki dan perempuan. Tafsiran ini
membimbangkan ibu bapa kerana bagi mereka PS ini akan meningkatkan lagi masalah
sosial yang lain, seperti kes rogol, buang bayi dan sebagainya.
Penulis
berpendapat bahawa tafsiran ibu bapa yang berlainan dengan apa yang dimaksudkan
oleh kerajaan tidak dapat dielakkan. Terdapat dua kemungkinan besar berlakunya
tafsiran PS yang tidak selari antara kerajaan dengan masyarakat, khususnya ibu
bapa. Pertama ialah definisi seks dalam Kamus Dewan memberikan dua pengertian,
iaitu 1. sifat-sifat yg membezakan laki-laki dan perempuan, jantina; 2.
keinginan syahwat. Jadi, sekiranya perkataan pendidikan dirangkaikan dengan perkataan seks, maka istilah pendidikan seks membawa makna pendidikan tentang
sifat-sifat yang membezakan lelaki dan perempuan, pendidikan jantina dan
pendidikan keinginan syahwat. Dewan Bahasa dan Pustaka juga tidak mewujudkan
istilah Pendidikan Seks dalam Kamus
Dewan berserta dengan definisinya sekali. Jadi, pelbagai makna atau konsep
boleh diberikan terhadap istilah PS oleh sesiapa yang pertama kali
mendengarnya. Contohnya, PS boleh diertikan sebagai pendidikan yang mengajar
tentang keinginan syahwat dan melakukan seks.
Sebab kedua
mengapa PS ini menimbulkan kekeliruan ialah pihak media sama ada media cetak
atau media elektronik sering menggunakan istilah khidmat seks yang lebih menjurus kepada hubungan kelamin antara
lelaki dan perempuan secara tidak sah. Dengan pengertian, penggunaan khidmat
seks yang mendominasi liputan media elektronik dan media cetak hari ini telah
memberi gambaran buruk terhadap istilah seks
dalam kalangan seluruh rakyat Malaysia. Istilah khidmat seks ini sering
didengari melalui laporan-laporan berita tentang pelacuran, laporan berita
tentang rumah-rumah urut yang tidak ada permit yang sah dan sebagainya. Jika
perkataan seks dirangkaikan dengan perkataan pendidikan yang mewujudkan istilah
pendidikan seks, maka pendidikan seks ini boleh membawa maksud pendidikan
tentang hubungan kelamin antara lelaki dan perempuan secara haram di sisi
Islam.
Dari sudut hukum
tatabahasa, iaitu hukum D-M (unsur menerangkan dan unsur diterangkan), khidmat
seks dan pendidikan seks mempunyai unsur penerang yang sama, iaitu seks. Dengan
pengertian lain, istilah khidmat seks ini memberi kesan terhadap istilah
pendidikan seks itu sendiri, kerana wujud padanan makna seks yang sama antara
kedua-dua istilah tersebut. Oleh itu, tidak hairanlah jika makna PS diertikan
sebagai pendidikan tentang hubungan kelamin antara lelaki dan perempuan sama
seperti kita memberikan makna bagi istilah khidmat seks. Padanan makna
kedua-dua istilah ini yang menimbulkan kekeliruan masyarakat kita sehingga ada
yang membangkang hasrat kerajaan tersebut.
Perkara utama
dalam pembentukan istilah ialah bahasa Melayu hendaklah diutamakan selagi
membawa makna yang tepat, halus dan tidak menimbulkan konotasi yang buruk
sebelum memilih bahasa asing. Oleh itu, dalam konteks PS, perkataan seks yang
dipinjam daripada bahasa Inggeris mempunyai padanan yang tepat dan halus dalam
bahasa Melayu, iaitu jantina. Jadi, PS perlu ditukar kepada Pendidikan Jantina.
Jika ditanya apakah maksud pendidikan jantina, kita boleh menjawab pendidikan
jantina adalah sebahagian pendidikan akhlak yang mengatur kehidupan seksual
berdasarkan Islam.
Semasa isu
pendidikan seks ini hangat, penulis terbaca sebuah artikel dalam akhbar
tempatan yang mencadangkan agar istilah PS ditukar kepada Pendidikan Akhlak.
Menurut artikel tersebut, Pendidikan Akhlak lebih tepat dan selari dengan
pengisian subjek PS yang bertujuan mendidik akhlak bagi mengurangkan masalah
sosial dalam kalangan pelajar. Walaupun subjek PS menyentuh hal-hal kelamin,
tetapi tumpuan utamanya adalah lebih kepada didikan akhlak. Malah dalam sebuah
buku bertajuk Kefahaman dan Pendidikan Seks dalam Islam (Hanafi Muhamad, 1994)
turut menggunakan istilah PS dan menyatakan bahawa PS adalah sebahagian
daripada Pendidikan Akhlak. Menurut buku tersebut, tujuan PS adalah untuk
mendidik etika akhlak yang mengatur kehidupan seksual manusia sejak ia lahir
sampai dewasa antara mereka yang berlainan jenis, berdasarkan iman sebagaimana
yang digariskan oleh Al-Quran dan Sunnah. Dengan pengertian lain, PS merupakan
satu aspek dalam pendidikan akhlak.
Kesimpulannya,
istilah pendidikan seks perlu dikemas kini bagi mengurangkan kekeliruan.
Penulis melihat bahawa kekeliruan itu timbul disebabkan oleh pengisian subjek
PS tidak selari dengan maksud atau erti seks tersebut. Dengan kata lain,
perkataan seks sering dirujuk sebagai hubungan kelamin oleh sebahagian besar
rakyat Malaysia, seperti definisi seks dalam Kamus Dewan dan maksud khidmat
seks yang sering diungkapkan dalam media arus perdana. Mungkin lebih tepat jika
menggunakan istilah Pendidikan Jantina atau Pendidikan Akhlak.
No comments:
Post a Comment