Saturday, 15 August 2015

ISTILAH "HARAM"

Penulis juga merujuk laman web Majlis Fatwa Kebangsaan berkenaan dengan kewajiban membeli buku, kewajiban hadir sesuatu mesyuarat. Penulis tidak menemui satu fatwa yang berkaitan dengan kewajiban membeli buku, menghadiri mesyuarat dan sebagainya. Oleh itu lebih selamat jika kita menggunakan perkataan mesti dalam hal ini kerana tidak melibatkan hukum-hakam.





Adakah penggunaan istilah haram dan wajib dalam bahasa Melayu tidak membawa maksud haram seperti yang dimaksudkan oleh Islam. Bolehkan ia digunakan dalam konteks berlainan dan apa hukumnya? Untuk memulakan artikel ini, penulis memetik satu petikan ceramah, pada waktu sebelum solat Zohor (5 Julai 2011) di Masjid Al-Rahman, Universiti Malaya. Ustaz tersebut berceramah tentang hukum halal dan haram dalam Islam. Menurutnya, untuk menentukan hukum halal dan haram hendaklah berdasarkan Al-Quran, Hadis, Ijmak dan Qias”.

Katanya lagi, "menurut ilmu fiqah, sesiapa yang menghalalkan sesuatu yang diharamkan (oleh Islam), dan mengharamkan sesuatu yang dihalalkan (oleh Islam), maka orang itu dianggap kafir. Ceramah ustaz tersebut sebagai ulasan terhadap pengharaman perhimpunan Bersih 2.0 yang hendak dilaksanakan di ibu negara. Tambahnya lagi, "Adalah tidak wajar sesuka hati menghalalkan dan mengharamkan sesuatu perkara, pertubuhan, warna baju dan sebagainya tanpa berdasarkan dalil yang disebutkan di atas”.

Dalam artikel ini, penulis hanya menumpukan perhatian terhadap penggunaan istilah wajib dalam bahasa Melayu yang sering kita gunakan, mendengarnya sama ada di tempat kerja atau di tempat kita mengajar dan belajar. Contoh ayat yang selalu kita dengan ialah

1.          Pelajar diwajibkan membeli buku ini.
2.          Mesyuarat ini wajib dihadiri oleh semua pelajar semester satu.
3.          Kehadiran semua pensyarah adalah wajib.

Ayat-ayat di atas sering dengar atau baca.  Menurut Kamus Dewan, perkataan wajib ialah perkataan yang terdapat dalam hukum Islam. Oleh itu, wajib merupakan bahasa Arab dan telah diserap masuk ke dalam bahasa Melayu. Maksud wajib yang diberikan oleh kamus tersebut ialah satu suruhan dalam Islam apabila dilaksanakan mendapat pahala dan apabila ditinggalkan mendapat dosa? Kamus itu juga memadankan (menterjemahkan) perkataan wajib dengan maksud tidak boleh tidak dan sudah seharusnya.

Oleh itu, jika dalam analisis semantik, ungkapan pelajar diwajibkan membeli buku ini, mesyuarat ini wajib dihadiri oleh semua pelajar tahun satu, kehadiran semua pensyarah adalah wajib boleh membawa dua maksud. Jika wajib dilihat dari sudut Islam, maka pelajar yang tidak membeli buku yang telah diwajibkan, pelajar dan pensyarah yang tidak hadir setelah diwajibkan bagi mereka hadir dianggap telah melakukan dosa. Sebaliknya, jika maksud wajib di atas merujuk pada 'tidak boleh tidak’ dan 'sudah seharusnya’, sebagai terjemahan dalam bahasa Melayu, maka mereka tidak dianggap telah melakukan dosa, sebaliknya dianggap sebagai telah melakukan kesalahan atau peraturan dunia. Mungkin mereka hanya mendapat hukuman atau denda sahaja.

Oleh itu, lebih baik jika kita memilih perkataan mesti bagi menggantikan perkataan wajib dalam ketiga-tiga ayat di atas. Hal ini menimbulkan kekeliruan kerana ia digunakan dalam dua konteks yang berlainan. Contohnya setiap pelajar mesti membeli buku ini, pelajar mesti hadir dalam mesyuarat tersebut.  Jika kita menggunakan perkataan wajib untuk meminta pelajar membeli buku, menghadiri kursus, atau menghadiri mesyuarat, sedangkan tidak dalil yang sahih, bimbang hukum ini berleluasa dan boleh mengakibatkan kekufuran kepada penuturnya.

Penulis juga merujuk laman web Majlis Fatwa Kebangsaan berkenaan dengan kewajiban membeli buku, kewajiban hadir sesuatu mesyuarat. Penulis tidak menemui satu fatwa yang berkaitan dengan kewajiban membeli buku, menghadiri mesyuarat dan sebagainya. Oleh itu lebih selamat jika kita menggunakan perkataan mesti dalam hal ini kerana tidak melibatkan hukum-hakam.

Seperti yang penulis tekankan sebelum ini bahawa kita perlu berhati-hati dalam memilih perkataan, khususnya yang berkaitakan dengan hukum Islam. Hal ini selari dengan adab berbahasa yang dikemukakan oleh Syed Muahmmad Naquib Al-Attas yang menyarankan agar kita mesti mengenal, mengakui dan menempatkan sesuatu perkataan di tempat yang benar agar tidak menimbulkan kekacauan dalam makna, bunyi dan konsep.

Terdapat lima istilah yang melibatkan sistem penulaian dalam Islam, iaitu wajib, sunnat, harus, makruh dan haram. Kelima-lima istilah ini perlu diterima daripada bahasa Arab tanpa ada peluasan, penyempitan atau peyimpangan (penukaran) makna. Dalam konteks artikel ini, makna haram tidak seharusnya mengalami peluasan atau penyempitan makna kerana ini melibatkan hukum Islam Islam. 

ISTILAH "TEORI ISLAM"

Profesor tersebut tidak menjawab soalan itu, sebaliknya berkata jangan gunakan istilah “teori Islam”. Katanya, teori hanya pendapat atau andaian semata-mata. Sedangkan Islam pula ialah satu agama dan satu hukum Allah yang tidak ada kecacatan padanya.  Katanya lagi, istilah teori Islam itu amat berbahaya kerana boleh menimbulkan tafsiran yang pelbagai. Hal ini kerana maksud teori itu adakalahnya kukuh, ada kalanya lemah, Islam merupakan hukum yang kukuh sepanjang zaman.




Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Fakulti Bahasa Moden dan komunikasi, KUIS telah menganjurkan Seminar Penyelidikan 2010 bertema Pembudayaan Penyelidikan Akademia, 28-29 September 2010.  Seminar ini dihadiri oleh Rektor KUIS, Preofesor Dato Dr. Aziuddin Ahmad dan puluhan pensyarah KUIS. Seminar tersebut dimulakan oleh ucaptama Rektor yang menekankan kalbu atau hati (kalbu yang bersih) dalam pentadbiran beliau di KUIS.

Semasa sesi soal jawab, penulis melihat ramai pendengar yang terdiri daripada pensyarah-pensyarah mengemukakan soalan dan ada yang melontarkan pandangan.  Apa yang penulis ingin sentuh dalam artikel ini ialah satu istilah, iaitu ‘teori Islam’ yang digunakan oleh salah seorang pendengar yang bertanya dan meminta pandangan Rektor KUIS tentang masalah yang dihadapi.  Penyoal itu berkata, “saya sedang membuat Doktor Falsafah dalam bidang teknologi maklumat dan berusaha menggunakan dan menggabungkan dua teori, iaitu teori Barat dan teori Islam”. Dalam menjalankan kajian itu, beliau sering menghadapi masalah kerana teori Islam yang hendak digunakan sentiasa dipersoalkan oleh penyelianya, tetapi penulis tidak pasti apa yang dipersoalkan oleh penyelia tersebut.

Bagi penulis, usaha pensyarah yang bertanya itu adalah sangat murni dan mulia kerana ingin menerapkan Islam dalam kajian teknologi maklumat. Istilah teori Islam yang digunakan itu mengingatkan penulis tentang satu kuliah bagi kursus “Teori Tatabahasa Bahasa Melayu” yang dikendalikan oleh seorang pensyarah yang bertaraf profesor semasa penulis menuntut di Universiti Malaya pada peringkat Ijazah Sarjana. Semasa kuliah tersebut, pensyarah menerangkan sejarah kajian tatabahasa dan teori-teori yang terdapat dalam kajian tatabahasa bermula daripada zaman Yunani sehingga sekarang yang agak rencam. Beliau menerangkan teori-teori dengan terperinci sekali. Pensyarah tersebut menekankan teori-teori tatabahasa yang kesemuanya menyentuh teori-teori yang datang dari Eropah dan Amerika di samping menjelaskan bagaimana teori-teori Barat ini mempengaruhi kajian tatabahasa bahasa Melayu di Malaysia. 

Selepas pensyarah itu menamatkan kuliahnya, dalam sesi soal jawab, seorang pelajar (rakan penulis) bertanya, “di manakah teori Islam dalam kajian bahasa?” Profesor tersebut tidak menjawab soalan itu tentang di mana teori Islam dalam kajianbahasa, sebaliknya berkata jangan gunakan istilah “teori Islam”.  Katanya, teori hanya pendapat atau andaian semata-mata. (Dalam Kamus Dewan, teori bermaksud pendapat dan  pandangan yang tidak dapat dibuktikan dengan kukuhnya untuk menerangkan sesuatu perkara)

Islam pula ialah satu agama yang sempurna, tidak ada cacat celahnya dan tidak ada keraguan padanya. Katanya lagi, istilah teori Islam itu amat berbahaya kerana boleh menimbulkan tafsiran yang pelbagai. Dengan ayat yang mudah, ada teori yang lemah dan ada yang kuat. “Apabila kita menggabungkan perkataan teori dan Islam untuk membentuk frasa teori Islam, seolah-olah Islam itu sebagai satu teori atau Islam itu sebagai andaian semata-mata. Sedangkan Islam itu sebagai hukum yang sempurna dan kukuh. Tambahnya lagi, Islam itu suatu hukum yang mutlak, dapat dibuktikan dengan kukuh dan tidak boleh dipertikaikan”. Istilah teori Islam ini boleh menimbulkan kekeliruan jika tidak diperhalusi.

Dalam hal ini, penulis bukanlah cuba “beralih” daripada bidang bahasa kepada pengajian Islam.  Penulis hanya ingin berkongsi pengalaman bahasa yang sangat sedikit di dalam artikel ini dan cuba melihat istilah teori Islam dari sudut terminologi, iaitu kajian proses pembentukan istilah. Istilah teori Islam itu boleh diperhalusi dengan menukar teori Islam kepada istilah Dari Perspektif Islam. Dalam konteks kajian yang dilakukan oleh pensyarah tersebut, mungkin lebih baik jika menggunakan tajuk “Teknologi Maklumat dari Perspektif Islam, Teknologi dari Sudut Islam atau yang seumpamanya.

Berdasarkan pemerhatian penulis, setakat ini penulis tidak pernah menemui tajuk buku yang menggunakan teori Islam. Sebaliknya penulis banyak menemui frasa ‘dari Perspektif Islam’, seperti buku Psikologi Dari Perspektif Islam, Komunikasi dari Sudut Islam dan sebagainya. Penulis tidak menemui istilah Psikologi: Teori Islam atau Komunikasi: Teori Islam.  Hal inilah yang ditekankan oleh Prof. Muhammad Naquib Al-Attas bahawa bahasa bukan sekadar bahasa atau makna, tetapi bahasa itu amat berkait rapat dengan pandangan hidup. Sebab itu, beliau menekankan adab berbahasa, iaitu bahasa perlu tepat dari segi makna, bunyi, dan konteks penggunaannya. Kemungkinan besar pensyarah yang menyoal dalam seminar itu sentiasa dierpsoalkan kerana istilah yang digunakan itu tidak tepat.

Menurut ahli bahasa pula, ayat yang berkesan ialah ayat yang mampu menyampaikan makna atau kefahaman yang tepat atau sama antara penulis dan pembaca. Dengan kata lain, apa yang hendak disampaikan oleh penulis adalah sama dengan apa yang difahami pembaca tanpa ada tafsiran yang lain.  Bagi penulis, begitu juga dengan istilah, hendaklah jelas tanpa menimbulkan pelbagai tafsiran, kekaburan atau ketaksaan.


Artikel ini hanya sekadar lontaran pendapat berdasarkan pengalaman untuk dikongsi bersama. Penulis tidak sempat melontarkan pandangan ini semasa berada di dalam seminar tersebut kerana pensyarah yang bertanya dalam seminar itu merupakan orang terakhir dan waktu seminar yang ditetapkan pun telah melebih masa yang ditetapkan.  Harap dia menemui artikel ini.

NILAI ‘KITA’ BAGI SEORANG PEMIMPIN


Ungkapan “kejayaan kita” merupakan penanda linguistik yang menggambarkan nilai dan sikap seorang pemimpin yang menghargai pengorbanan orang lain, khususnya orang yang dipimpinnya. Dalam konteks kepimpinan, ungkapan kejayaan saya merupakan satu pujian pada diri sendiri yang boleh dinilai oleh pendengar sebagai ‘riak’ ataupun ‘bangga diri’ dan tidak tahu menghargai diri orang lain.








Beberapa bulan yang lepas, penulis telah menyertai program induksi untuk kakitangan yang terdiri daripada para pensyarah. Dalam program tersebut, terdapat beberapa sesi ceramah diadakan, dan satu daripada sesi ceramah tersebut telah menyentuh soal kepimpinan. Menurut penceramah tersebut, pemimpin perlulah mengajak orang yang dipimpin untuk bekerja sebagai satu pasukan, kerana kerjasama akan membawa kejayaan. 

Kejayaan yang dicapai hasil daripada kerja sebagai satu pasukan merupakan kejayaan bersama. Dengan itu, penceramah menekankan penggunaan kata ganti nama apabila seorang pemimpin diminta memberikan ucapan untuk merayakan sesuatu kejayaan, iaitu penggunaan kata ganti nama saya dan kita. Katanya, apabila seorang pemimpin yang berjaya diminta untuk memberikan ucapan atau merayakan sesuatu kejayaan, pemimpin tersebut hendaklah menggunakan ungkapan kejayaan kita berbanding ungkapan kejayaan saya memimpin. Ungkapan kejayaan kita merupakan penghargaan atau pujian kepada orang yang dipimpinnya. Penghargaan dan pujian seseorang pemimpin akan menyebabkan orang bawahan berasa dihargai dan akan terus senang bekerja dengan pemimpinnya. Tanpa kerjasama daripada orang bawahan akan menyebabkan sesuatu kegagalan.

Ungkapan kejayaan kita merupakan unsur linguistik yang dapat digunakan untuk menilai sikap seorang pemimpin sebagai seorang pemimpin yang baik dan tahu menghargai pengorbanan orang lain, khususnya orang yang dipimpinnya. Dalam konteks kepimpinan, ungkapan kejayaan saya merupakan satu pujian pada diri sendiri yang boleh dinilai oleh pendengar sebagai ‘riak’ ataupun ‘bangga diri’ dan tidak tahu menghargai diri orang lain. Menurut Noriati Abd. Rasid (2006), pujian dan penghargaan merupakan satu unsur kesantunan bahasa.  Kejayaan seorang pemimpin banyak bergantung kepada penggunaan bahasa yang baik, sopan santun. Dengan bahasa yang baik akan dapat mewujudkan hubungan yang baik dan sekali gus membentuk kerjasama yang mantap.

Kesimpulannya ialah, seorang pemimpin di dalam sesuatu organisasi haruslah peka dengan pemilihan kata ganti nama semasa memberikan ucapan untuk merayakan sesuatu kejayaan.  Kita perlu berpegang pada “tingkap papan kayu bersegi, sampan sakat di pulau angsa, indah tampan kerana budi, tinggi budi kerana bahasa” dan moto “bahasa Jiwa Bangsa.

SYUKUR BIASA DAN SYUKUR YANG SEBENARNYA



“Apabila seseorang mendapat rezeki lebih daripada Allah, maka orang tersebut hendaklah mengucapkan syukur alhamdulillah. Ucapan syukur ini bagus, tetapi sekadar mengungkapkan syukur sahaja hanyalah syukur biasa sahaja. Syukur yang sebenarnya ialah apabila seseorang mendapat rezeki lebih daripada Allah, lalu mengucapkan Alhamdulillah dan disertai oleh tindakan menderma”

(Petikan ceramah)




Ungkapan Rabbani merupakan satu unsur penting dalam kesantunan bahasa. Ungkapan rabbani merangkumi ucapan salam, salawat, ungkapan syukur, doa dan sebagainya. Pengamalan ungkapan rabbani yang kerap dalam kehidupan seharian menandakan seseorang itu sentiasa meletakkan Allah di tempat utama di dalam hatinya lalu dipancarkan dalam perlakuan dan tutur bahasanya. Ungkapan rabbani ini juga merupakan lambang kekuatan iman seseorang.

Dalam artikel ini, penulis menyentuh satu jenis ungkapan rabbani, iaitu ungkapan yang menunjukkan kesyukuran, seperti syukur dan alhamdulillah. Dalam bahasa Melayu, syukur bermaksud berterima kasih kepada Allah. Baru-baru ini, penulis mendengar satu ceramah dalam satu radio (Jumaat, kira-kira pukul 5 pagi, 28/01/2011, tidak dapat ingat stesen radio tersebut). Dalam ceramah tersebut, penceramah menekankan konsep menderma dan mengatakan bahawa terdapat dua jenis syukur, iaitu syukur biasa dan syukur yang sebenarnya.

Persoalannya ialah apakah yang dimaksudkan dengan syukur biasa dan syukur yang sebenarnya? Menurut penceramah tersebut, apabila seseorang mendapat rezeki yang lebih daripada Allah, maka orang tersebut hendaklah mengucapkan syukur alhamdulillah. Tambah penceramah itu lagi, ucapan syukur ini bagus, tetapi sekadar mengungkapkan syukur sahaja hanyalah syukur biasa sahaja. Syukur yang sebenarnya ialah apabila seseorang mendapat rezeki lebih daripada Allah, lalu mengucapkan Alhamdulillah dan disertai oleh tindakan menderma.

Dapat disimpulkan bahawa konsep kesyukuran kepada Allah tidak terhad kepada ungkapan sahaja, malah perlu disusuli dengan tindakan atau perilaku yang baik, seperti menderma sekurang-kurangnya 10 % daripada rezeki yang diperoleh itu. Oleh itu, tindakan menderma ini menjadi pelengkap kepada konsep dan pengertian syukur kepada Allah, dan bukannya syukur di mulut sahaja. Syukur di mulut sahaja tidak membuktikan kesyukurannya.

Kesimpulannya ialah penceramah tersebut telah memberikan pengertian yang jelas tentang konsep kesyukuran. Ungkapan rabbani dan perbuatan menderma itu boleh menunjukkan kesyukuran dan keikhlasan seseorang walaupun ikhlas itu hanya Allah sahaja yang mengetahuinya. Oleh itu, dermakanlah sebahagian daripada harta anda (pendapatan), dan janganlah hanya menerima pendapatan yang lumayan dan sekadar mengucapkan syukur, tetapi tidak menderma.


ISLAM HADHARI : KRISTIAN PROTESTAN DAN KRISTIAN KHATOLIK

Dalam konteks pembentukan Istilah, mencipta istilah baharu akan membawa pengertian, nilai, fungsi, bentuk atau fahaman baharu.  Kita dapat perhatikan perpecahan yang berlaku dalam agama Kristian dengan adanya Kristian Protestan dan Kristian Katolik. Kedua-dua Kristian ini bukan sahaja mempunyai fahaman, tujuan dan matlamat yang belainan, malah kedua-duanya bertentangan antara satu sama lain. Keadaan ini boleh berlaku kepada agama Islam sekirannya perkataan Islam itu dirangkaikan dengan perkataan-perkataan lain, seperti Islam Hadhari, Islam Liberal, Islam Fundamental, Islam Madani dan sebagainya.

(Abd Ganing Laengkang


Artikel ini tidak bertujuan untuk membuat perbandingan ajaran dan fahaman agama antara Islam dengan Kristian. Penulis sama sekali tidak mengatakan bahawa ajaran “Islam Hadhari” ini sesat atau menyimpang daripada ajaran Islam sebenar dan tidak mengatakan bahawa “Institusi Islam Hadhari” yang diwujudkan di Universiti Kebangsaan Malaysia berusaha untuk mewujudkan agama baharu. Sebaliknya, penulis menghuraikan istilah-istilah di atas dari sudut pemerhatian ahli bahasa (bahasawan), khususnya dalam proses pembentukan Istilah. 

Istilah “Islam Hadhari” diperkenalkan dan dipopularkan oleh Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdullah Ahmad Badawi (2003-2009). Ramai pihak mendakwa “Islam Hadhari” itu sesat dan agama baharu.  Penulis juga pernah terserempak dengan sebuah buku yang bertajuk “Bukan Islam Hadhari, tetapi Hadharah. Walaupun istilah Islam Hadhari ini tidak kedengaran lagi akibat slogan Satu Malaysia, namun demikian penulis mendapati banyak istilah lain yang sama kedudukan dan sifatnya dari sudut linguistik. Contohnya Islam Liberal, Islam Fandamental, Islam Madani dan sebagainya.

Dalam konteks pembentukan istilah, mencipta istilah baharu akan membawa pengertian, nilai, fungsi, bentuk atau fahaman baharu.  Kita dapat perhatikan agama Kristian berlaku perpecahan dan mewujudkan dua nama, iaitu Kristian Protestan dan Kristian Katolik. Kedua-dua Kristian ini mempunyai fahaman tersendiri, tujuan dan matlamatnya sendiri. Kedua-duanya juga bertentangan antara satu sama lain. Perpecahan itu berpunca daripada wujudnya kumpulan dalam agama Kristian itu sendiri. Oleh sebab ada kumpulan penentang dalam agama Kristian, maka wujudlah Kristian Katolik dan Kristian Prostestan (protestan bermaksud “penentang” daripada akar kata protest).

Dalam konteks penulisan ini, analoginya mudah. Jika istilah kereta dipecahkan kepada beberapa jenis, itu tidak menjadi masalah dan itu satu bentuk inovasi. Contohnya kereta Proton dipecahkan kepada beberapa jenis (nama), seperti Proton Saga, Proton Wira, Proton Perdana, Proton Exora dan sebagainya. Jenis-jenis kereta Proton ini sudah pasti mempunyai ciri-ciri tersendiri, seperti nilai, kuasa enjn, harga,  komponen yang berlainan antara satu sama lain. Istilah kereta yang berpecah kepada beberapa jenis ini adalah sesuatu yang sangat baik, tetapi perpecahan istilah Islam kepada beberapa Islam itu sangat berbahaya. Hal ini kerana jika Islam dijeniskan kepada beberapa Islam, sudah tentu jenis-jenis Islam itu berlainan antara satu sama lain dari segi nilai, bentuk, ajaran, arah tujuan, sebagainya. Tegasnya, pembentukan istilah Islam ini boleh menyebabkan perpecahan Islam itu sendiri.

Pada pandangan penulis, memadai dangan perkataan Islam itu sendiri. Kita tidak perlu merangkaikan perkataan Islam dengan perkataan-perkataan lain. Hal ini akan mengelirukan banyak pihak, bukan hanya orang bukan Islam, malah menimbulkan tanda tanya dalam kalangan orang Islam itu sendiri. Berapa banyak Islam yang kita ada?  Keadaan ini semakin menjadi rumit apabila pemimpin-pemimpin tertinggi negara mengeluarkan istilah-istilah baharu dalam agama. Dengan perkataan lain, apabila seorang pemimpin mengeluarkan satu kenyataan atau istilah, maka pengikut-pengikutnya akan dengan pantas memberikan sokongan tanpa menelitinya terlebih dahulu. Begitu juga beberapa tahun lepas, penulis juga pernah terdengar seorang ahli akademik mengeluarkan istilah Islam ta’dibi. Mujur istilah itu tidak diperkenalkan dan dipopularkan dalam bentuk kertas kerja penyelidikan. Cukuplah sekadar Institusi Islam Hadhari di UKM. Seandainya istilah Islam Hadhari ini terus dipopularkan, sudah pasti Islam akan mengulangi sejarah perpecahan agama Kristian.

Hal ini berlainan dengan istilah “Universiti Islam” atau Linguistik Islam. Kedua-dua istilah tidak menimbulkan kekeliruan yang boleh memecahkan Islam. Istilah Universiti Islam merupakan satu keperluan untuk membezakan universiti Islam dengan Universiti sekular. Dari segi hukum tatabahasa, universiti Islam dan Islam Hadhari berbeza dari segi hukum D-M, diterangkan dan menerangkan.  Dengan perkataan lain, kedua-dua istilah itu berbentuk kata majmuk, tetapi berbeza dari segi unsur yang diterangkan dan unsur yang menerangkan (Hukmum D-M).

    Islam          +  Hadhari
    Universiti   + Islam

Islam dalam istilah Islam Hadhari merupakan unsur yang diterangkan. Ia menjadi inti utama dalam kata majmuk tersebut. Hal ini juga boleh digambarkan dalam rajah pohon berikut:


                                     Islam


Hadhari               Hadharah               Fundamental         Liberal.

Unsur penerang boleh pelbagai, sama ada Hadhari, Hadharah, Fundamental, atau Liberal. Hal ini kerana dalam ilmu linguistik, khususnya dalam bidang semantik, unsur penerang menjadi unsur pembeza. Dengan pengertian bahawa, istilah Hadhari merupakan unsur pembeza dengan fundamental, liberal dan sebagainya. Manakala perkataan Islam dalam istilah universiti Islam hanya sebagai unsur penerang atau unsur pembeza, dan yang diterangkan ialah universiti. Istilah ini tidak menjadi masalah kerana perkataan Islam menjadi unsur yang menekankan bahawa universiti itu berasaskan nilai-nilai Islam. Jika ada istilah universiti Kristian, ia tidak memberikan kesan perpecahan kepada agama Islam kerana ia tidak ada kaitan dengan Islam. Begitu juga dengan istilah linguistik Islam kerana perkataan Islam yang dirangkaikan dengan perkataan linguistik sebagai satu keperluan untuk menentang sekularisasi ilmu bahasa.  Begitu juga dengan istilah-istilah lain, seperti sastera Islam, negara Islam, pemakanan Islam, pemikiran Islam dan sebagainya (melainkan istilah Teori Islam).  Islam dalam dalam istilah-istilah tersebut hanya sebagai penerang sifat kepada inti yang diterangkan.


Kesimpulannya ialah Istilah atau perkataan Islam perlu kekal sebagai satu istilah yang kukuh dari segi maksud dan nilai sepanjang zaman (hingga kiamat). Ia tidak perlu dirangkaikan dengan perkataan-perkataan lain yang boleh memecahkan Islam itu kepada beberapa Islam. 

BENCANA SEBAGAI BAHASA ALLAH SWT

Bencana seperti H1N1 merupakan satu bahasa Isyarat Allah SWT untuk memberikan peringatan kepada umat Islam. Disebabkan kejahilan umat Islam memamhami Al-Quran, maka Allah SWT menggunakan bencana alam sebagai bahasa untuk menyedarkan umat Islam. Bencana sebagai teguran (bahasa) yang jelas agar umat Islam kembali kepada Al-Quran dan Sunnah.

(Petikan Ceramah)




Sebagai umat Islam, saya turut tidak melepaskan peluang untuk menunaikan solat terawih di bulan yang suci ini. Pada 22 Ogos, terawih yang kedua saya di Masjid Ar-Rahman, sebuah masjid berhampiran di pintu utama Universiti Malaya. Rumah Allah SWT itu cukup sederhana, mampu menampung jemaah 3000-3500 dalam satu-satu masa. Usai solat Isyak dan terawi empat rakaat, seorang penceramah memberikan ceramahnya tentang kemuliaan bulan Ramadan.

Ada satu ungkapan yang cukup menarik perhatian saya, iaitu apabila penceramah mengungkapkan "virus H1N1 itu ialah Bahasa Allah". Pada fikiran saya, apa benar bencana itu satu bentuk bahasa Allah. Ungkapan ini disampaikan setelah menjelaskan bahawa umat Islam pada hari ini tidak memahami bahasa Al-Quran, khususnya dalam bacaan solat. Katanya lagi, kita tidak dapat khusyuk dalam solat kerana tidak memahami maknanya bacaan dalam solat. Apabila imam membca surah yang sedikit panjang, makmum akan hilang tumpuan kerana tidak memahami bacaan itu, fikiran makmum akan melayang...dari sini Bencana itu bahasa Allah.

Bencana seperti H1N1 merupakan satu bahasa Isyarat Allah SWT untuk memberikan peringatan kepada umat Islam. Disebabkan kejahilan umat Islam memamhami Al-Quran, maka Allah SWT menggunakan bencana alam sebagai bahasa untuk menyedarkan umat Islam. Bencana sebagai teguran (bahasa) yang jelas agar umat Islam kembali kepada Al-Quran dan Sunnah. Maksudnya, umat Islam disarankan memahami Al-Quran agar penghayatan terhadap Islam itu tinggi dan melahirkan ketakwaan dalam diri terhadap Allah.

Ungkapan ini juga hampir sama dengan skrip dalam satu babak filem Ayat-ayat Cinta, iaitu sebuah filem yang diadaptasi dari sebuah novel terlaris di Indonesia. Saya teringat babak ketika Fahri (watak utama dalam filem tersebut) di penjara akibat tuduhan memperkosa Noura. Fahri dituduh merogol Noura dan dimasukkan ke dalam penjara semantara menunggun pembicaraan.  Di dalam penjara itu, Fahri cukup kecewa, dan menerima tekanan yang amat dahsyat. Seorang yang kuat pegangan agama itu tidak mampu menahan fitnah yang luar biasa itu, iaitu merogol. Tekanan itu membuat beliau tidak dapat mendirikan solat dengan khusyuk, setiap kali dia cuba takbir pertama, dia akan hilang tumpuan, lalu menangis kerana gagal menghadapi ujian itu. 

Di dalam penjara itu, terdapat seorang rakan sepenjara, memarhatikan Fahri yang tidak dapat mendirikan solat akibat tekanan yang luar biasa. Beliu duduk di suatu sudut penjara tersebut. Mereka hanya berdua di dalam penjara sementara itu.  Agak lama di perhatikan Fahri untuk mendirikan solat, tetapi Fahri gagal meneruskan solatnya.  Lalu lelaki itu menyindirnya "jangan-jangan kamu hanya solat apabila dilanda musibah". Lelaki itu pun menghampiri Fahri. Kemudian dia berkata

Ingat!!!
"Allah sedang berbicara dengan kamu"!!

Sambil mendekati Fahri, lelaki itu terus memberikan pesanan bahawa Fahri mesti kuat menghadapi ujian fitnahnya.

Skrip itu menimbulkan tafsiran "Allah SWT berbicara dengan Fahri". Apakah benar Allah berbicara langsung dengan Fahri? Penulis melihat, ungkapan di atas sama dengan "bencana sebagai bahasa Isyarat Allah" seperti yang disampaikan oleh penceramah di Masjid Ar-Rahman di atas. Ujian yang diturunkan kepada seseorang diibaratkan sebagai bahasa Allah SWT. Dengan kata lain, ujian dan bencana terhadap seseorang sebagai bahasa untuk menyampaikan amaran atau peringatan kepada hamba-Nya. Allah berkmonukasi dalam bentuk bencana dan ujian. Ini mungkin juga diertikan sebagai komunikasi tanpa lisan.  Mungkin istilah yang paling tepat untuk ujian atau bencana ialah bahasa Isyarat Allah kepada umat-Nya


...(fikir-fikirkanlah) ujian dan bencana ialah Bahasa isyarat Allah...dan Allah sedang berkomunikasi langsung dengan kita. 

BOHONG SUNAT CIPTAAN ORANG MELAYU YANG SANGAT BERBAHAYA

Sebaik sahaja pembeli itu beredar, penulis (yang sejak tadi memerhatikan sesi tawar-menawar tersebut) pun “memuji” peniaga itu, “Wah, pandai engkau  berniaga, untung banyak, kalau macam tu, cepat kaya”.  Lebih separuh engkau untung. Peniaga itu menjawab, “Biasa la, nak berniaga, kena pandai bohong sunat, baru boleh maju (untung). Penulis pun menjawab, Ohh..itu macam kah,” mau pandai bohong sunat baru boleh untungkah? Iyalah”...Jawab rakan saya itu.
(Pengalaman  penulis)




Setiap kali sesi pengajaran dan pembelajaran tamat lebih awal daripada waktu yang berikan, penulis akan sentiasa membuka ruang perbincangan dengan pelajar untuk melengkapkan dua jam yang diperuntukkan oleh pihak universiti. Sejak dua semester yang lepas, penulis memilih satu istilah yang sering diungkapkan oleh orang Melayu, iaitu bohong sunat (BS) untuk dibincangkan bersama pelajar. Penulis melakukan perbincangan ini adalah untuk mengajar pelajar mengemukakan idea mereka. Sebelum menghuraikan lebih lanjut, penulis ingin menyatakan pendirian bahawa artikel ini tidak berhasrat untuk membincangkan hukum-hakam Islam, jauh sekali mengambil alih tugas ulama untuk mencipta fatwa baharu, sebaliknya ingin berkongsi pandangan dan persoalan yang timbul dalam fikiran penulis tentang istilah BS dari sudut bahasa, khususnya dari sudut proses pembentukan istilah.

berdasarkan perbincangan dengan pelajar, kebanyakan mereka mengatakan bahawa BS tidak wujud dalam Islam. Pemahaman pelajar ini adalah sama dengan apa yang penulis fahami bahawa BS tidak wujud dalam Islam. Namun demikian, ada beberapa pelajar yang mengatakan BS itu wujud, tetapi masih mengakui bahawa BS tidak wujud dalam Islam. Katanya “BS ini tidak wujud dalam Islam, sebaliknya BS ini hanyalah istilah yang dicipta oleh orang Melayu.” Ada juga pelajar yang memetik penjelasan ustaz mereka dengan menyatakan “ada ustaz yang membolehkan BS ini, asalkan berbohong untuk kebaikan. Jadi, tidak ada salahnya jika melakukan BS dengan niat yang baik.”

Terdapat beberapa contoh lain yang dikemukakan oleh pelajar bagi membolehkan BS dilakukan, seperti ini “jika A bertengkar dengan B, C pula, dengan niat yang baik, boleh memperbaik hubungan A dan B dengan menyatakan A mengirim salam kepada B, walaupun sebenarnya A tidak pernah mengirim salam kepada B. Berbohong seperti ini boleh memperbaik hubungan A dan B tadi.  Perbuatan C dianggap baik dan diistilahkan sebagai BS. Alasan lain yang penulis terima ialah “jika Ali melihat Abu bersembunyi daripada dilihat oleh Azman yang sedang marah dan sedang memegang parang, lalu Azman bertanya kepada Ali dengan nada yang marah, “adakah kamu melihat Abu?!!” Dalam situasi ini, Ali boleh berbohong kepada Azman bahawa Ali tidak melihat sesiapa bagi menyelamatkan Abu daripada dibunuh oleh Azman. Berbohong seperti ini dibolehkan dan ia diistilahkan sebagai BS oleh orang Melayu.

Penulis dapat menerima alasan ini, tetapi apa yang bermain dalam fikiran penulis setelah mendengar jawapan dan alasan-alasan yang dikemukakan oleh pelajar tersebut ialah bolehkah orang Melayu mencipta satu istilah BS yang seolah-olah mencipta satu hukum baharu? Sebabnya, mencipta istilah baharu akan membawa satu konsep baharu, pengertian baharu atau fahaman baharu. Jika mencipta satu istilah baharu dalam hukum Islam, bermaksud seseorang itu mencipta hukum baharu.

Penulis ingin mengemukakan satu kes tentang istilah yang tidak dibenarkan oleh kerajaan kerana menimbulkan kekeliruan hukum, iaitu istilah arak halal. Istilah ini diperkenalkan oleh sebuah pengusaha minuman semasa Pameran Halal Antarabangsa 2009 (MIHAS 2009). Pengusaha tersebut ingin menamakan minumannya sebagai arak halal kerana tin minuman tersebut hampir menyerupai salah satu tin minuman keras. Istilah arak halal ini tidak dibenarkan lagi kerana menimbulkan kekeliruan dan menimbulkan pelbagai masalah. Jika disalah tafsir, orang yang lemah pegangan agama akan terpesong dengan istilah itu. Dalam fikiran pengguna, semua arak telah dihalalkan dan boleh diminum oleh umat Islam. Begitu juga dengan istilah BS yang membawa makna “perbuatan berbohong digalakkan dan akan mendapat pahala jika dilakukan.” Hal ini yang membimbangkan Penulis. Istilah ini boleh menggalakkan seseorang bercakap bohong dan akan mendapat pahala jika dilakukan. Mungkin tidak menjadi masalah jika tujuannya baik, seperti alasan yang diberikan pelajar di atas.

Apa yang menjadi masalah ialah istilah BS ini disalahgunakan oleh peniaga-peniaga untuk mengaut keuntungan yang berlebihan sehingga membebankan pembeli. Berdasarkan pengalaman, penulis pernah membantu seorang untuk berniaga. Harga asal barang tersebut RM5 sahaja, tetapi peniaga tersebut menjual barang tersebut dengan harga RM15 dan mengatakan harga boleh dirunding. Apabila pembeli datang hendak membeli, pembeli bertanya “boleh kurang ke encik?” Peniaga menjawab, “boleh kurang sikit lah cik”. Pembeli itu pun berkata,“RM10 lah, boleh?” Peniaga itu menjawab “RM10 tu dah modal saya encik, tak ada untung cik, RM12 lah encik, untung RM2 je”. Pembeli itu pun membeli barangan tersebut. Sebaik sahaja pembeli itu beredar, penulis (yang sejak tadi memerhatikan sesi tawar-menawar tersebut) pun berkata kepada peniaga itu, “wah, pandai engkau berniaga, untung banyak, kalau macam tu, cepat kaya”. Lebih separuh engkau untung. Peniaga itu menjawab, “Biasa la, nak berniaga, kena pandai bohong sunat, baru boleh maju (untung). Penulis pun menjawab, Ohh..itu macam kah,” mau pandai BS baru boleh untungkah? “Iyalah”...Jawab rakan saya itu.

Bagi penulis, ini satu kes yang telah menyalahgunakan istilah BS sebab keuntungan yang berlebihan, membebankan dan menganiaya pengguna. Jumlah keuntungan yang diperoleh itu tidak penting, yang penting cara mendapatkan keuntungan itu.  Mendapatkan keuntungan melalui BS ini adalah cara yang tidak baik. Penulis tidak menuduh semua peniaga demikian, ini berdasarkan pengalaman penulis sahaja. Apa yang membimbangkan penulis ialah apabila BS ini disalahgunakan dalam kes-kes yang lebih besar dan memudaratkan orang ramai. Tidakkah berbahaya jika BS ini disalahgunakan oleh para kakitangan kerajaan, pegawai-pegawai kerajaan atau para pemimpin tertinggi negara? Bukankah isitlah ini berbahaya jika BS disalahgunakan untuk melindungi para perasuah, penjenayah dan sebagainya? Penulis bukannya menghalang perbuatan ‘berbohong’ untuk menyelamatkan seseorang daripada dibunuh dan memperbaik hubungan dua pihak bertelagah dengan bercakap tidak benar, sebaliknya perkataan sunat itu seharusnya tidak dirangkaikan dengan perkataan bohong kerana membawa makna yang tidak tepat, malah amat berbahaya. Perbuatan berbohong untuk tujuan yang baik perlu ditukar kepada tipu muslihat, muslihat sahaja, atau tipu strategi bagi menyelamatkan orang dan memperbaik hubungan dua pihak.

Perlu difahami bahawa syarat utama pembentukan istilah ialah makna istilah tersebut hendaklah tepat. Maksudnya, jika makna istilah yang hendak dicipta itu tidak tepat atau membawa maksud yang berlainan atau mengelirukan, maka perkataan itu tidak boleh dijadikan istilah. Dalam kes ini, bohong didefinisikan oleh Kamus Dewan sebagai “berlainan daripada yang sebenarnya, dusta, karut dan palsu”. Sunat pula didefinisikan sebagai hukum menggalakkan sesuatu perbuatan (dalam Islam) yang menjanjikan ganjaran pahala jika dilakukan dan tidak berdosa jika ditinggalkan. Jika perkataan bohong dan sunat dirangkaikan akan membawa pengertian bohong yang digalakkan dan akan mendapat pahala jika dilakukan. Ini yang menimbulkan pelbagai tafsiran yang berbahaya jika disalahgunakan.

Sebenarnya banyak lagi istilah yang ‘dicipta’ oleh orang Melayu yang mengelirukan dan amat berbahaya. Antaranya ialah pendatang haram, anak haram, Islam Hadhari (yang menimbulkan polemik yang panjang), anak haram dan sebagainya. Malah tahun lepas, khususnya perebutan kuasa di Perak, penulis dapat perhatikan istilah haram berleluasa, seperti kerajaan haram, menteri besar haram, speaker haram, dan sebagainya.  Walaupun Kamus Dewan memberikan dua pengertian tentang haram, iaitu sebagai hukum yang ditegah oleh Islam dan pengertian yang kedua ialah tidak sah di sisi undang-undang, tetapi masih boleh menimbulkan kekeliruan. Hal ini keranan maksud pertama di atas lebih dominan berbanding dengan maksud yang kedua di atas.

Istilah pendatang haram satu lagi contoh istilah ciptaan orang kita yang amat berbahaya. Seperti yang kita ketahui, negara ini dibanjiri oleh pendatang Indonesia dan ramai dalam kalangan mereka yang tidak mempunyai permit yang sah. Silapnya ialah orang kita mencipta istilah pendatang haram bagi merujuk pendatang asing tanpa permit. Mereka (orang Indonesia) mentafsir istilah itu dengan cara yang tidak tepat, dengan mengatakan yang haram hanyalah benda-benda dan binatang seperti minuman keras, anjing, khinzir dan sebagainya. Bagi mereka, pendatang (mereka) bukan benda-benda yang haram oleh hukum Islam, seperti yang disebutkan di atas. Hal ini hampir menyebabkan Indonesia suatu ketika dulu menganyang Malaysia hanya kerana salah tafsir istilah itu. Ini menjejaskan hubungan dua buah negara yang dikatakan negara adik-beradik.  Istilah Islam Hadhari akan dibincangkan dalam ruangan yang lain.


Oleh itu, BS perlu ditukar kepada tipu muslihat, pendatang haram ditukar kepada pendatang asing tanpa izin, Islam Hadhari tidak diperlukan dan sebagainya. Bagaimana dengan istilah perhimpunan haram, kerajaan haram, speaker haram dan sebagainya? Renung-renungkanlah jawapannya. Ruang tidak mengizinkan. Jadi, dalam hal ini, kita perlu berhati-hati mencipta satu istilah, khususnya yang melibatkan hukum-hukum Islam. Sempena Maal Hijrah yang ke 1432 ini, penulis juga ingin mencadangkan dan mengingatkan diri penulis sendiri dan seluruh rakyat Malaysia agar merujuk Jabatan Agama Islam Malaysia terlebih dahulu sebelum mencipta satu istilah, khususnya istilah-istilah yang menyentuh soal agama. Penulis bimbang akan timbul lagi istilah baharu, seperti bohong wajib, bohong makruh, harus, pendatang haram, ibu bapa haram, judi halal, Islam itu dan ini, dan sebagainya. Penulis hanya menasihatkan agar kita lebih berhati-hati apabila bermain dengan perkataan atau sebarang istilah.